VIDEO: Polis Redah Kolam Tadahan Cekup Penjenayah Warga Indonesia

KLANG – Tindakan berani dua anggota polis meredah kolam tadahan banjir berjaya memberkas seorang lelaki warga Indonesia disyaki penjenayah dalam kejadian di Jalan Persiaran Delima 2, Bandar Parkland, di sini, semalam.

Dua anggota polis itu wajar dipuji kerana sanggup meredah kolam tadahan banjir sedalam satu meter berikutan lelaki berusia 26 tahun itu cuba melarikan diri daripada ditangkap.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejayaan tangkapan tersebut bermula apabila dua anggota polis peronda telah mengesan seorang suspek menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota polis tersebut yang masing-masing berpangkat Koperal dan Lans Koperal tersebut kemudiannya meminta suspek memberhentikan motosikal dinaikinya.

“Bagaimanapun, arahan tersebut tidak dipatuhi suspek yang kemudiannya memecut laju sebelum bertindak melarikan diri dengan terjun ke kolam tadahan banjir.

“Dua anggota polis kemudiannya telah bertindak memasuki kolam tersebut sebelum berjaya menangkap suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, semakan terhadap motosikal digunakan suspek didapati merupakan motosikal yang dilaporkan hilang pada 10 November lalu.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook insiden penangkapan tersebut selepas orang ramai memuat naik video detik-detik kejayaan anggota polis berkenaan menahan suspek.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.