Tokmat Nekad Pertahan DUN Rantau

SHAH ALAM – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan nekad akan mempertahankan kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan kelak.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan di Facebook, selepas Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Rantau kosong dan mengisytiharkan kemenangan beliau pada PRU14 lalu sebagai tidak sah.

“Di Mahkamah Tinggi Seremban mengikuti keputusan petisyen PRU14 DUN Rantau. Keputusan tidak memihak pada saya dan PRK akan diadakan dalam masa terdekat.

“Terima kasih kepada yang hadir  memberi sokongan di mahkamah pagi tadi.

“Saya akan pertahan kerusi DUN Rantau dalam Prk itu nanti, insha Allah,” tulis beliau.

Hakim Azimah Omar dalam penghakimannya pagi tadi turut mengarahkan satu PRK bagi kerusi itu diadakan serta mereta.

Katanya, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan bagi seseorang calon atau pencadangnya mempunyai pas untuk memasuki pusat penamaan.

“Ini adalah diskriminasi kepada pempetisyen (Dr S Streram) dan gangguan kepada proses demokrasi,”katanya.

Pada penamaan calon PRU14 April lalu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tokmat yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi diumumkan menang tanpa bertanding apabila calon PKR, Dr S Streram gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan.

Difahamkan, calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ekoran itu Streram  memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.