SPR Tunggu Perakuan Mahkamah Sebelum Buat Keputusan PRK DUN Rantau

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunggu keputusan daripada Mahkamah Persekutuan sekiranya ada pihak mahu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pagi tadi berhubung pembatalan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat sebelum pihaknya memutuskan tindakan selanjutnya. 

“Sementara itu, SPR akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya dan akan membuat keputusan sama ada rayuan perlu dibuat ke Mahkamah Persekutuan,” kata Azhar dalam satu kenyataan.

Menurut Azhar, Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya. 

“Di bawah undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia menerima perakuan tersebut,” katanya.

Beliau menambah, SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan PRK sekiranya ia perlu diadakan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.