PH Tiada Idea Lonjak Ekonomi Negara, Masih Dalam Mood Salahkan BN – Khairy

KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan Belanjawan 2019, yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tidak memiliki agenda yang besar sebaliknya, masih dalam ‘mood’ menyalahkan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Kewangan Kabinet Bayangan BN, Khairy Jamaluddin mendakwa belanjawan pertama dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meniru bajet BN.

Katanya, biarpun belanjawan kali ini membabitkan peruntukan terbesar dalam sejarah bajet negara, namun tidak ada apa-apa yang baharu disentuh ketika pembentangan Belanjawan 2019.

“Ramai buat ramalan bahawa bajet kali ini lebih kecil, kononnya negara banyak hutang, tiada duit. Tetapi tiba-tiba bajet diumumkan berjumlah RM300 bilion lebih, maksudnya mereka (PH) dapat mencari pendapatan dan hasil kerajaan.

“Kalau tolak dividen dari PETRONAS RM30 bilion, kutipan hasil adalah RM21 bilion iaitu kurang RM5 bilion sahaja dari kutipan BN.

“Jadi, tidak bolehlah kata tidak ada duit,” katanya pada majlis Wacana U3.0, Insiatif Ekonomi Rakyat 2019, yang disiarkan secara langsung melalui portal UMNO Online malam tadi.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata hutang negara menerusi dokumen rasmi yang dibentangkan adalah RM70.5 bilion.

Katanya, hutang PH mencecah RM20 bilion dalam tempoh enam bulan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

“Hutang ini bukan hutang kerajaan jangka pendek tetapi jangka masa panjang. Bon (hutang) perlu dibayar mengikut jadual dalam jangka masa lama, bukan kena selesaikan (bayar) hari ini.

“Soal duit dan hasil kerajaan memang ada tapi kita dimomokkan (dengan) tiada duit, kerajaan akan bankrap, tiada hasil.

“Sudah terbukti itu semua tidak betul, dengan pembentangan bajet yang begitu besar,” katanya.

Khairy menyuarakan kebimbangan bahawa Belanjawan 2019 akan mencatatkan defisit yang sangat besar iaitu RM54 bilion.

“Dari segi strategi tidak nampak apa. Banyak program diumumkan hanya copy paste (tiru) atau diambil dari BN, kalau segan sikit dia tukar nama. Kalau dulu dipanggil BR1M, sekarang Bantuan Sara Hidup (Basah)… dulu dedak kering sekarang basah.

“Kalau nak copy paste, ambillah semua tetapi mereka terlupa bantuan untuk rakyat miskin, golongan nelayan, petani, dan untuk musim tengkujuh.

“Mereka masih lagi beri 1,001 alasan kenapa tidak dapat rangsang ekonomi Bumiputera,” katanya.

Khairy berkata Inisiatif Ekonomi Rakyat dibentangkan BN berpandangan yang projek mega seperti Keretapi Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mesti diteruskan.

“Kalau ada keraguan harga kos ECRL bernilai RM81 bilion, kos boleh dirunding atau dikurangkan. Tidak perlu buat double tracking pun misalnya, boleh buat single track, tetapi penting untuk diteruskan dan diadakan projek ini. Bukan hanya projek kereta api tetapi bawa limpahan lebih besar di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Bila ada kereta api bukan hanya untuk penumpang tapi juga untuk kargo. Bila ada kargo yang boleh disambung maka lebih mudah untuk bina ekosistem di Pantai Timur,” katanya.

Khairy turut memberi contoh projek HSR bukan hanya menghubungkan dua negara tetapi akan mengembangkan ekonomi negeri di sepanjang jajaran Kuala Lumpur-Singapura antaranya, di Negeri Sembilan dan Johor.

“Ini akan buka satu ruang ekonomi yang pesat di Selatan Semenanjung tetapi kenapa tiada usaha untuk sambung?

“Takkanlah kerana ego yang besar, kerana ini adalah idea BN, kerana ini idea (Datuk Seri) Najib (Razak) tak mahu sambung, sedangkan ini adalah projek yang akan beri kesan limpahan yang sangat besar.

“Idea hari ini, kereta nasional, jambatan bengkok. Itu yang kita dengar tetapi tiada idea yang besar untuk membawa satu anjakan ekonomi seperti ECRL dan HSR,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.