Nilai PKR Hanya Senipis Kertas ‘Cai’ Calon – Dr Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Calon Ketua Pemuda (AMK) PKR, Dr Afif Bahardin yang tewas tipis dalam perebutan jawatan berkenaan meluahkan rasa berang dengan budaya ‘cai’ (pasukan pilihan) dalam pemilihan kali ini.

Memetik laporan FMT, Dr Afif menyifatkan ahli PKR kini lebih keras mempertahankan pasukan pilihan berdasarkan kertas ‘cai’ berbanding membicarakan idealisme perjuangan.

Simbolik kepada luahan kemarahannya, Dr Afif mengangkat satu kertas memaparkan sepasukan calon pemilihan kali ini lalu mengoyaknya dihadapan 500 perwakilan Kongres Nasional Pemuda PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam, hari ini.

“Di awal pemilihan saya dan kawan-kawan tawarkan macam-macam dalam manifesto. Masuk minggu kedua, tiada siapa cakap pasal manifesto. Yang dibicara ialah…(Afif tunjuk kertas calon-calon)

“Ada yang pegang kertas ‘cai’, belakang resit, pelekat, biasalah taktik. Inilah yang kita pertahankan habisan-habisan, bertumbuk-tumbuk. Bukan lagi bicara idealisme atau siapa buat kerja dan layak tak layak.

“Senipis inilah nilai PKR (Afif koyak kertas calon-calon),” katanya.

Serentak dengan itu beliau menggesa para perwakilan mendesak kepimpinan baharu parti menyemak semula sistem pemilihan yang menggunakan sistem e-undi.

“Saya tidak pertikai keputusan tapi kita kena muhasabah dan tawaduk…ada kelemahan dalam konsep ‘direct democracy.

“Marilah kita desak kepimpinan baru untuk menyemak sistem pemilihan yang ada,” ujarnya lagi. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.