Kemenangan Tok Mat Dalam PRU14 Tidak Sah, Terbatal

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, perlu diadakan serta-merta.

Azimah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen, Dr S Streram dan peguam respondan, Mohamad yang berlangsung selama 12 hari membabitkan 19 saksi perbicaraan.

Beliau dalam penghakiman selama lebih satu jam berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kepada dua perkara utama.

“Tidak wujud sebarang undang-undang dan peraturan pilihan raya yang menyatakan ‘tag’ nama atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk masuk ke dalam dewan penamaan calon bagi mengemukakan borang penamaan.

“Ini diakui oleh peguam respondan kedua dan ketiga dalam hujahan bertulis.

“Malah, buku kerja pilihan raya mengesahkan ‘tag’ nama atau pas masuk bukan keperluan mandatori perlu dipatuhi malahan mana-mana calon boleh ‘walk in’ sahaja ke dewan penamaan calon,” katanya.

Berikutan itu, mahkamah mengisytiharkan Mohamad yang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau adalah tidak sah dan batal.

Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala pasukan empat anggota Dr Streram diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Pada 25 Jun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Dr Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14, 9 Mei lalu.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

KRONOLOGI PETISYEN DUN RANTAU

28 April 2018

Calon PKR, Dr S Streram dihalang menghantar borang penamaan calon oleh SPR dan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan diumum menang tanpa bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

9 Mei 2018

Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan pusat apabila menang PRU-14.

23 Mei 2018

Streram fail petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kemenangan Mohamad di DUN Rantau pada PRU-14 lalu.

25 Jun 2018

Mohamad fail bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh Streram di Mahkamah Tinggi Seremban.

29 Ogos 2018

Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan Mohamad untuk membatalkan petisyen oleh Streram dan tetapkan 12,13,14, 27, 28 September dan 1, 2 Oktober 2018 tarikh perbicaraan terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub dan SPR.

10 Oktober 2018

Amino Agos dipenjara tiga bulan kerana menghina mahkamah.

12 Oktober 2018

Amino Agos fail rayuan tangguh hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur.

17 Oktober 2018

Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum membenarkan Amino Agos tangguh hukuman dan mengembalikan kes ke Mahkamah Rayuan.

16 November 2018

Mahkamah Tinggi Seremban putuskan kemenangan Mohamad pada PRU-14 batal dan tidak sah, sekali gus putuskan satu PRK diadakan serta merta.

INFO DUN RANTAU

Jumlah pengundi DUN Rantau – 20,472

Pecahan pengundi mengikut kaum

– Melayu 53.43%

– Cina 18.81%

– India 27.01%

– Lain-lain 0.75%

Rantau adalah sebuah bandar kecil di dalam daerah Seremban namun berada di bawah Parlimen Rembau.

Pekan kecil lain yang terletak berhampiran Rantau antaranya ialah Kuala Sawah, Siliau, Kampung Sega, Linsum, dan Ayer Kuning.

Terdapat banyak kawasan estet di Rantau termasuk sawit dan getah

ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, mula bertanding di kerusi itu dalam PRU-11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.