Harapan Coin Belum Difikir Secara Mendalam, Kata Tun M

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) masih belum memikirkan cadangan mengenai Harapan Coin secara mendalam.

“Kami mungkin menerimanya, bagaimanapun bergantung kepada sebaik mana ia berfungsi,” katanya dipetik Bernama.

Ketika ditanya sama ada Bank Negara akan bersetuju dengan cadangan mengenai Harapan Coin itu, Mahathir  berkata, perkara itu juga masih belum dibincangkan dengan Bank Negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengumumkan bahawa penggunaan mata wang kripto tidak sah di negara ini.

Dalam pada itu Mahathir berkata, perkara yang lebih menarik berbanding mata wang kripto adalah masyarakat tanpa tunai.

“Lebih menarik adalah masyarakat tanpa tunai India. Mereka tidak menggunakan sebarang wang.

“Apabila wang tidak digunakan, rasuah dapat dikekang,” katanya lagi.

Baru-baru ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata rancangan untuk menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan PH pada masa depan, masih diteruskan.

Khalid, yang merupakan pengasas bersama projek itu, dilaporkan berkata kertas kerja dan pembentangan projek itu akan dikemukakan kepada BNM dan Perdana Menteri tidak lama lagi.

Susulan itu, Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak Khalid mendedahkan dalang sebalik projek Harapan Coin itu kerana beliau meragui agenda memperkenalkan matawang digital itu untuk transaksi kerajaan seperti pembayaran lesen dan saman.

Malah, Badan pemikir Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) turut menyuarakan kebimbangan berhubung projek Harapan Coin yang disifatkan sebagai bertentangan dengan prinsip urus tadbir yang baik.

Naib Presidennya Datuk Simon Lim Seng Chai menggesa Khalid untuk menangguhkan projek tersebut. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.