Azmin Nafi Isytihar Menang Jawatan Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan laporan yang menyatakan beliau telah mengisytiharkan kemenangan untuk jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2018.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak pernah membuat pengumuman rasmi sebaliknya perkara itu berlaku ekoran kesilapan pihak media yang tidak tepat membuat laporan.

“Kalau lihat tweet saya, saya sekadar mengucapkan Alhamdulillah dan bersyukur kepada anggota parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi.

“Di mana saya isytihar kemenangan? Saya maafkan (media), lain kali hati-hati. Saya tetap patuhi peraturan parti dan hormati Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres National Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan ke-13 di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Mohamed Azmin menghormati proses Pemilihan PKR selepas didakwa mengumumkan kemenangannya untuk jawatan Timbalan Presiden.

Turut hadir Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam pada itu menyuarakan keyakinan PKR akan lebih kuat dan bersatu selepas pemilihan tersebut.

Katanya, PKR tidak pernah sunyi dengan ujian tetapi dengan kematangan dan kesedaran, parti itu berjaya selesai banyak krisis.

“Riuh dan bising (Pemilihan PKR) itu adalah proses biasa dalam demokrasi kerana kita tidak sorok.

“Kita benarkan anggota parti tegur pemimpin dan bagi saya ini adalah satu proses yang sihat,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.