AMK Tak Halang Ratifikasi ICERD

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak mempunyai halangan jika kerajaan mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini, namun ia bersyarat.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebelum ia ditandatangani, kerajaan perlu memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak diubah.

Beliau merujuk kepada kandungan perlembagaan yang menyebut tentang kesamarataan tetapi ada hak keistimewaan terhadap Melayu dan bumiputera.

“Jika kita boleh lindungi Perlembagaan, kenapa tidak kita tandatangan ICERD.

“Saya tidak ada masalah, syarat saya Perlembagaan tidak perlu diubah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres National AMK 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini. 

Sebelum ini bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan adalah sesuatu yang wajar bagi kerajaan menangguhkan ratifikasi ICERD.

Menurut Anwar, walaupun secara asasnya Malaysia mendokong prinsip menegakkan keadilan dan menolak diskriminasi namun ia menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat. 

Pelbagai pihak menyuarakan bantahan dan tidak bersetuju kerajaan meratifikasi ICERD kerana bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia malah membelakangkan Majlis Raja-Raja.

Sehingga semalam, sebanyak 83,000 petisyen undi yang diterima dari orang ramai bagi membantah ratifikasi ICERD. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.