Tindakan Sabotaj Punca Dua Tren SMRT Di Singapura Bertembung

SINGAPURA – Di sebalik kecanggihan sistem dan disiplin rakyatnya, insiden pertembungan dua tren Singapore Mass Rapid Transit (SMRT) dikenal pasti mungkin akibat sabotaj pihak tertentu.

Perkara amat mengejutkan warga Singapura itu didedahkan Timbalan Ketua Eksekutif Prasarana dan Pembangunan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Chua Chong Kheng dalam sidang akhbar khas di sini lewat semalam.

Media tempatan melaporkan, perisian ciri keselamatan dimatikan ‘secara tidak sengaja’ dikenal pasti pihak LTA dan SMRT sebagai antara sebab kereta api melanggar tren yang tidak bergerak di stesen Joo Koon pukul 8.18 pagi Rabu.

Seramai 29 orang cedera selepas sebuah kereta api “bergerak ke hadapan secara tiba-tiba” dan “merempuh” kereta api yang masih lagi tidak bergerak tersebut, menurut kenyataan pihak berkuasa berdasarkan siasatan awal.

Tren pertama – yang berada di depan – dari Ulu Pandan dengan perisian ciri perlindungan yang “dimatikan dengan tidak sengaja” apabila ia melalui litar isyarat yang rosak dan kemudiannya tiba di stesen Joo Koon tanpa ciri ini.

“Ini mengakibatkannya memberikan isyarat profil kereta api pada sistem isyarat baharu bagi tiga-gerabak, bukan enam-gerabak. Hasilnya, tren kedua (belakang) mengesan kereta api pertama itu sebagai jenis tiga gerabak.

“Ia silap dalam memberikan anggaran jarak antaranya, lantas ia berlanggar.” kata Chong Kheng. Sebanyak 517 penumpang dilaporkan berada dalam tren tersebut yang bergerak perlahan pada kelajuan 16 kilometer sejam.

Insiden pelanggaran dua tren berlaku di stesen Joo Koon di Jajaran Timur-Barat. Ini merupakan kes kedua kereta api berlanggar yang pernah berlaku di Singapura selepas insiden sama pada 5 Ogos 1993 lalu di stesen Clementi.

Ia mengakibatkan 156 penumpang cedera. Panel siasatan bebas mendapati bahawa nahas disebabkan tumpahan minyak sebanyak 50 liter dari lokomotif penyenggaraan yang melakukan kerja-kerja penyenggaraan sekitar 5 pagi.

Dalam pada itu Chong Kheng mengatakan sebagai langkah berjaga-jaga, operasi dari stesen Joo Koon ke Tuas Link digantung sepanjang 16 November sementara pemeriksaan berlangsung oleh kontraktor sistem isyarat Thales.

Khidmat bas disediakan bagi perjalanan terjejas semasa tempoh penggantungan. Salah satu tren terlibat telah dialih menghala ke stesen MRT Tuas Link pada 3.20 petang Rabu. Kereta api kedua pula dialihkan sekitar 4.05 petang.

Daripada 29 orang mangsa, 23 penumpang serta dua kakitangan SMRT mengalami “kecederaan ringan hingga sederhana”, dan dikejarkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Universiti Nasional (NUH) semalam.

Pada sebelah tengah hari pula, Hospital Besar Ng Teng Fong menerima baki pesakit yang pergi ke situ secara sukarela. Kesemuanya dirawat akibat terpelanting dan sudah dibenarkan pulang. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.