Tentera Myanmar Bakar Hidup-Hidup Etnik Rohingya

WASHINGTON – Pasukan pemerhati menyatakan tentera Myanmar mengelar leher penduduk Islam Rohingya dan membakar mangsa hidup-hidup, bukti ia menjalankan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik minoriti itu.

Laporan oleh Muzium Peringatan Holocaust Amerika Syarikat dan Fortify Rights yang beribu pejabat di Asia Tenggara mendokumenkan ‘serangan meluas dan bersistematik’ ke atas penduduk Islam Rohingya antara 9 Oktober dan Disember tahun lalu, dan dari 25 Ogos tahun ini.

Setebal 30 muka surat, laporan bertajuk ‘Mereka cuba membunuh kami semua’ itu berdasarkan lebih 200 temubual dengan mangsa terselamat dan saksi, selain pekerja bantuan antarabangsa.

Sebahagian pemimpin dunia menggambarkan ia sebagai pembersihan etnik.

Bukti yang dikumpulkan pasukan pemerhati itu menunjukkan ‘pasukan keselamatan Myanmar dan penjenayah awam melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan pembersihan etnik’ dalam dua gelombang serangan di negara itu.

“Ada bukti kukuh menunjukkan tindakan itu sebenarnya adalah pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Rohingya,” menurut laporan.

Hampir 700,000 etnik itu kehilangan tempat tinggal sejak Oktober tahun lalu apabila tentera Myanmar memulakan ‘operasi pembersihan’ selepas sekumpulan tidak dikenali menyerang dan membunuh pegawai keselamatan.

Operasi itu adalah mekanisme melakukan kekejaman besar-besaran, menurut laporan.

“Pasukan keselamatan menembak penduduk Rohingya dari darat dan udara.

“Anggota tentera dan penduduk awam bersenjatakan pisau menetak sehingga mati dan mengelar leher lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya,” kata laporan itu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.