Tarik Lesen Hotel Jika 
Larang Pekerja Bertudung

IPOH – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah menarik balik lesen mana-mana hotel di negara ini yang didapati mela­rang wanita Islam bertudung be­kerja di bahagian khidmat pe­langgan hotel berkenaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan tegas itu perlu kerana dasar tersebut jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan ber­agama kepada semua rakyat.

 

Malah katanya, selaku hotel antarabangsa, sepatutnya pihak pengurusan hotel lebih rasional dalam isu hak asasi manusia se­perti yang sering diperjuangkan di peringkat antarabangsa.

“Perkara ini melibatkan PBT kerana mereka yang keluarkan lesen operasi. Jadi saya minta PBT siasat perkara itu dan jika terbukti benar ia dasar hotel tersebut, tarik balik lesen mereka.

“Tidak sepatutnya mereka boleh beroperasi di negara kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Shazlan Mohd. Hanafiah, 32, dan Mohd. Azri Aziz, 30, yang melecur di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Dua anggota bomba berkenaan melecur akibat disambar api ketika menjalankan operasi mema­dam kebakaran silo di sebuah kilang membuat papan lapis di Kawasan Perindustrian IGB Tasek dekat sini Sabtu lalu.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim dan Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahya Madis.

Noh mengulas laporan berhubung pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) juga mempertahankan tindakan hotel berkenaan mela­rang wanita Islam bertudung be­kerja di bahagian khidmat pe­langgan sebagai sebahagian dasar dan prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa.

Sementara itu, mengulas mengenai keadaan anggota bomba yang cedera tersebut, Noh memberitahu, Shazlan yang melecur 10 peratus kini semakin pulih dan boleh bercakap manakala Mohd. Azri akan dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Tambah beliau, kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 7.30 pagi, Sabtu lalu itu di luar jangkaan walaupun anggota bomba berkenaan dilengkapi dengan peralatan keselamatan dan latihan semasa memadam api.

“Semua ini di luar dugaan. Tahniah atas keberanian mereka dan meletakkan tanggungjawab menyelamatkan mangsa lebih pen­ting daripada diri sendiri,” katanya.

Selain dua anggota tersebut, Noh turut melawat seorang lagi anggota bomba, Mohamad Azizi Rosli di Hospital Changkat Melintang, Parit yang cedera akibat terkena kejutan elektrik semasa memadamkan kebakaran rumah di Lambor Kanan, kelmarin.-Utusan

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.