Polis Siasat Kes Kehilangan Pita Data Sokongan CIMB

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kes kehilangan pita data sokongan CIMB Bank yang hilang pada 13 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kecuaian menjadi punca kehilangan pita itu.

“Kita telah buka kertas siasatan dan menjalankan siasatan. Setakat yang kita tahu berdasarkan siasatan, kita belum terima apa-apa petunjuk lagi.

“Mungkin ada sedikit unsur kecuaian melibatkan kakitangan yang mengendalikan pita data tersebut,” katanya pada sidang media selepas program Perhimpunan Pegawai Awam Ke-11 bersama Ketua Polis Negara di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Dalam pada masa sama beliau menafikan berlakunya sebarang unsur sabotaj dalam kes itu.

Katanya, orang awam tidak perlu khuatir akan kes tersebut kerana ia tidak mendatangkan masalah kepada pelanggan bank itu.

Jelasnya beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kes dikendalikan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, tambahnya.

Beberapa hari lalu, CIMB Group Holdings Bhd meningkatkan langkah keselamatan di semua salurannya, berikutan beberapa pita magnetik mengandungi data sokongan telah hilang dalam perjalanan semasa satu operasi rutin.

CIMB Group bagaimanapun mengesahkan pita tersebut tidak mengandungi sebarang maklumat pengesahan peribadi seperti Nombor Pengesahan Peribadi (PIN), kata laluan atau nombor Nilai PengesahanKad (CVV). – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.