Lebih 14,000 Pelajar Di Teluk Intan Terima Bantuan Baju dan Beg Sekolah

TELUK INTAN – Seramai 14,700 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam parlimen ini menerima bantuan keperluan sekolah sebagai persediaan sesi persekolahan tahun hadapan.

Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong turut menyampaikan sendiri keperluan persekolahan tersebut kepada pelajar dari 55 sekolah.

Beliau berkata, sumbangan tersebut dilaksanakan beliau sejak 2014 dan diteruskan setiap tahun bagi memastikan pelajar sekolah mendapat barangan baharu untuk memulakan sesi persekolahan awal tahun.

“Untuk tahun ini kita telah menyampaikan 7,600 pasang pakaian seragam kepada pelajar sekolah rendah, manakala bagi pelajar sekolah menengah kita memberi 7,100 beg sekolah.

“Sudah empat tahun berturut-turut saya menjalankan program ini dan sehingga kini sebanyak 48,700 pakaian serta beg sekolah telah diagihkan,” katanya.

Siew Keong turut menekankan kepentingan pelajar sebagai aset negara yang terbesar dan berjanji akan sentiasa memastikan usaha pembangunan modal insan selaras pembangunan Teluk Intan.

“Selain daripada memastikan persekitaran pembelajaran selesa, barangan keperluan asas pembelajaran para pelajar turut harus diberi keutamaan.

“Saya akan memastikan tiada pelajar di Parlimen Teluk Intan terpinggir atau terabai terutama dalam memastikan semua pelajar rendah mendapat sepasang pakaian seragam baru sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.