Bekas Jururawat Mengaku Tidak Bersalah Tumbuk Tunang

PETALING JAYA – Seorang bekas jururawat lelaki di sebuah hospital swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menumbuk tunangnya sehingga retak tulang bawah mata sebelah kanan mangsa yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

Muhammad Zulkhairi Misman, 26, didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Natasha Shareena Hairil Anuar, 24, yang juga seorang jururawat dengan cara tersebut di luar rumah, No. 9, Jalan SS20/18, Damansara Kim, Damansara, di sini, kira-kira pukul 12.25 tengah malam, 7 November lalu, lapor Utusan.

Pertuduhan terhadap anak bongsu daripada tujuh beradik itu dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam, Elina Abdul Rashid yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya baru sebulan berhenti kerja, tiada rekod lampau selain memberi kerjasama penuh dengan pihak polis ketika siasatan kes dijalankan.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan 19 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Muhammad Zulkhairi yang memakai baju T berwarna jingga itu dibebaskan setelah membayar wang jaminan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang jururawat terpaksa menanggung kesakitan pada mata kanan dipercayai akibat ditumbuk oleh tunangnya dalam satu kejadian di hadapan rumah mangsa selepas berlaku perselisihan faham ketika mereka berbincang.

Dalam kejadian tersebut mangsa disahkan mengalami pendarahan dalam mata serta patah tulang pipi akibat dipercayai ditumbuk tunangnya.

Insiden terbabit menjadi viral selepas gambar mangsa yang mengalami kecederaan serius tersebar di laman sosial. Beberapa pemilik akaun Facebook turut mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan tunang mangsa yang dianggap melampaui batas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.