Aura Positif Stacy

TIDAK dinafikan, kitaran genre muzik masa kini yang lebih menjurus ke arah lagu berentak balada persis era kegemilangan 1990-an menjadikan ramai penyanyi menawarkan karya yang seakan serupa.

Meskipun begitu, pertaruhan muzik lain seperti hip hop mahupun R&B masih tetap diterima selain mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Pandangan itu juga menjadi pegangan buat pemilik nama Ummu Syaikhah Stacy Abdullah atau Stacy untuk meneruskan kelangsungan dalam industri.

Lebih setahun merehatkan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti seni, ibu kepada dua orang cahaya mata (seorang anak angkat, Bella Deluna Valentina, 5,) itu kini kembali dengan single baharu bertajuk Cakap Ke Tangan.

Masih mengekalkan genre muzik dance pop, Stacy yakin pertaruhannya itu bukan sahaja dapat mengubat kerinduan peminat tetapi mengembalikan semula posisinya di atas trek.

“Peralihan muzik mengikut cita rasa pendengar merupakan perkara lumrah dalam industri. Bagaimanapun, saya percaya genre muzik yang dibawakan dahulu masih mendapat tempat dalam kalangan peminat.

“Paling utama adalah kesungguhan dalam mempamerkan karya berkualiti selain segalanya bergantung pada rezeki Tuhan. Insya-Allah jika ikhlas dan bersungguh-sungguh semuanya akan dipermudahkan,” kata pemilik trofi juara Akademi Fantasia musim keenam itu penuh semangat.

Tambah wanita berusia 27 tahun itu lagi, pada saat awal pembabitannya dalam industri hampir sedekad lalu, genre muzik tersebut juga hanya mendapat ‘ruang’ yang sedikit dalam industri hiburan tanah air.

Baginya, muzik bersifat universal dan tidak hanya terhad kepada sesetengah individu mahupun meletakkan batas kepada artis terutama dalam melahirkan karya.

Semangat baharu
Disebabkan itu, Stacy tidak menjadikan selera peminat mempengaruhi dirinya untuk mengubah layar muzik yang dibawakan hanya kerana ingin memenuhi permintaan pasaran muzik masa kini.

Terus bersemangat dalam menghasilkan karya berkualiti, Stacy bagaimanapun tidak menafikan dia berdepan kesukaran ketika melakukan persediaan untuk membuat kemunculan semula setelah lama berehat.

Masalah vokal yang tidak mampu menyanyikan not lagu atau lirik bernada tinggi menjadi kekangan, lantas memperlahankan proses persediaan Stacy untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Menurut wanita kelahiran Penampang, Sabah itu, perubahan yang dialami selepas melahirkan cahaya mata pertama, Eshaal pada Februari lalu, pernah membuatkan dirinya meluahkan hasrat untuk tidak lagi bergelar seorang penyanyi.

“Sebaik sahaja menyedari perubahan pada suara, saya mengambil keputusan untuk mempertingkatkan latihan vokal, selain cuba membuat persembahan pada acara berskala kecil.

“Namun, segala usaha yang dilakukan tidak berhasil. Ketika itu, saya berpendapat kerjaya seni bakal berakhir dan mahu membiarkan suami (Akim Ahmad) sahaja yang aktif sebagai penyanyi.

“Syukur, sokongan suami dan peminat tidak pernah berhenti sehingga menjadikan saya berusaha mencari cara lain agar dapat kembali membuat persembahan seperti biasa,” terangnya tanpa berselindung.

Selain sokongan, Stacy mula beralih kepada aktiviti di gimnasium yang menjadi rejim harian untuknya kembali mendapatkan semula stamina, sekali gus menguasai teknik vokal bernada tinggi seperti biasa.

Aktiviti itu bukan sahaja membantu mengembalikan semula ‘kuasa’ vokal miliknya tetapi pada masa sama Stacy juga dapat menurunkan berat badan daripada 60 kilogram (kg) kepada 52kg.

Perubahan itu lantas menjadikan dia semakin bersedia dan bersemangat untuk menghasilkan lagu serta persembahan lebih berkualiti buat peminat.

Kekal positif
Hampir 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni menjadikan Stacy sudah lali dengan kritikan dan pandangan negatif peminat terutama di medium media sosial.

Bukan satu perkara baharu dalam kalangan masyarakat masa kini, kemudahan yang seharusnya digunakan ke arah kebaikan itu telah disalah erti, sekali gus mencetuskan suasana kurang senang.

Tidak dinafikan ia berlaku kepada Stacy saat awal kemunculannya dalam industri yang dikatakan cuba meniru penghibur popular Indonesia, Agnez Mo.

Pernah suatu ketika, sekitar tahun 2013, fesyen rambut yang digayakan Stacy dikatakan sama dengan penampilan Miley Cyrus dan sekali lagi menjadikan dirinya sebagai sasaran kritikan dan tuduhan tidak mempunyai identiti diri.

Segala kata nista diterima dan tidak menjadi parut buatnya mahupun mematahkan semangat untuk terus berkecimpung dalam bidang seni suara tanah air.

Stacy juga percaya sikap sentiasa positif dalam menerima kritikan telah banyak membantu agar tidak mudah goyah selain terus berusaha memberikan yang terbaik buat peminat.

Perkara sama turut diharapkan Stacy buat rakan seperjuangannya yang juga bekas peserta AF musim kesembilan, Ayda Jebat.

Penghasilan lagu baharu Ayda bertajuk Mata telah menyebabkan peminat membandingkan dua penghibur berkenaan sehingga mencetuskan perbalahan di antara mereka.

“Kritikan itu perkara biasa dan saya sendiri telah melalui fasa berkenaan sewaktu mula menceburkan diri dalam bidang seni hampir 10 tahun lalu.

“Pada saya, itu semua hanya luahan atau pandangan masing-masing, di tambah pula dengan penggunaan media sosial dan internet yang tidak mempunyai batasan,” ujar pelantun lagu Not For Sale itu.

Mengharapkan agar peminatnya tidak terlalu agresif dalam meluahkan pandangan di media sosial, Stacy turut berasa terharu dengan sokongan mereka yang masih percaya terhadap kemampuannya.

Bagi wanita itu, mudah untuk seseorang menyukai dan mempertahankan individu lain yang tidak dikenali. Memandang situasi tersebut dari sudut positif, Stacy menjadikan sokongan peminat sebagai pembakar semangat untuknya terus memberikan yang terbaik.

Kembali aktif dalam bidang seni, Stacy mengakui dia pernah berdepan dengan kekecewaan apabila gagal menyanyikan not lagu yang bernada tinggi selain mengalami masalah berat badan sehingga menyebabkan dirinya ingin mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.