1,803 Remaja, Kanak-Kanak Hilang Tahun Lalu

KUALA LUMPUR – Sejumlah 1,803 kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun dilaporkan hilang tahun lepas, dengan sebanyak 979 orang daripadanya telah dijumpai semula manakala 824 orang masih lagi hilang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat berkata jumlah itu meningkat berbanding 2015 iaitu sebanyak 1,782 orang hilang dengan 1,563 daripadanya dijumpai semula manakala 219 masih hilang.

Beliau berkata pada 2014 sejumlah 2,015 orang dilaporkan hilang, 1,959 dijumpai semula dan 56 masih hilang manakala bagi 2013, sebanyak 2,054 orang dilaporkan hilang dengan 2,026 orang telah dijumpai semula dan 28 orang lagi masih hilang, lappr Bernama.

Hasil siasatan polis mendapati punca utama yang mendorong remaja lari dari rumah adalah untuk mencari kebebasan iaitu sebanyak 4,188 kes, mengikut kawan (1,330 kes), mengikut kekasih (1,025 kes), salah faham keluarga (715 kes), tidak minat untuk belajar (150 kes), mencari kerja (101 kes), bersama ibu atau bapa yang melibatkan hak penjagaan (64 kes) dan tidak mendapat perhatian keluarga (81 kes) bagi tempoh 2013 hingga 2016, katanya.

Beliau menjawab soalah Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu statistik kes kanak-kanak dan remaja yang lari dari rumah bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Masir berkata kes yang melibatkan remaja termasuk kanak-kanak lari dari rumah boleh ditangani sekiranya ibu bapa sentiasa memberi perhatian dan pengawasan terhadap pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka tanpa membiarkan mereka bebas keluar dengan individu yang tidak dikenali.

Di samping itu, katanya, ibu bapa juga perlu memantau penggunaan aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat, WhatsApp, YouTube kerana ia boleh mempengaruhi perilaku anak-anak mereka serta menekankan aspek pendidikan agama dan moral sebagai benteng menghindari anak-anak terjerumus dengan aktiviti tidak sihat.

Beliau berkata dari segi jantina mereka yang dilaporkan hilang tahun lalu, perempuan sebanyak 1,222 orang berbanding 581 lelaki.

Statistik mengikut umur pula, bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah adalah sebanyak 65 orang, usia tujuh hingga 12 tahun (297 orang), usia 13 hingga 15 tahun (3,959 orang) dan 16 hingga 18 tahun (3,333 orang) bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Statistik mengikut kaum pula, Melayu sebanyak 5,123 orang, Cina (528 orang), India (758 orang) dan bangsa-bangsa lain (1,245 orang).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.