Tidak Sia-Sia Deejay Lin Pertahankan Suria Cinta

Kuala Lumpur –  Penyampai radio Suria FM iaitu Deejay Lin memberitahu usahanya mempertahankan Suria Cinta bagi menjadikan ia sebagai segmen paling diminati mendatangkan hasil apabila diumumkan sebagai rancangan paling lama didengar berbanding radio berbahasa Melayu lain.

Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 38, berkata, formula mendekati pendengar dengan melayan permasalahan cinta mereka menyumbang kepada faktor utama keputusan kajian firma penyelidikan GfK yang diumumkan pada 5 November lalu itu.

“Alhamdulillah, ini merupakan kali kedua segmen ini diumumkan sebagai rancangan paling lama didengar, ini bermakna formula saya untuk terus menarik pendengar melayan Suria Cinta yang bersiaran selama empat jam itu berjaya.

“Saya tidak meletakkan diri sebagai deejay sebaliknya cuba mendekatkan diri kepada mereka. Masa empat jam dalam konti itu memang sangat sibuk kerana saya akan memberi perhatian untuk melayan pendengar melalui telefon, Twitter dan Facebook sambil mencari madah cinta yang dikirim,” ujarnya kepada mStar Online.

Suria Cinta ke udara setiap Isnin hingga Sabtu, dari pukul 10 malam hingga 2 pagi.

Sementara itu, dia juga tidak gentar dengan persaingan daripada stesen radio lain yang cuba memperkenalkan segmen yang sama berkaitan cinta.

Lin berkata, ia melihat perkara tersebut sebagai sesuatu perkembangan yang sihat untuk dia terus berusaha mencari pembaharuan.

“Saya sedar banyak stesen radio yang keluar dengan segmen cinta dan itu adalah sesuatu yang baik.

“Ini bermakna saya tidak boleh terlalu selesa dan perlu bekerja lebih untuk pertahankan segmen ini supaya terus menjadi pilihan,” katanya.

Sementara itu, Lin mengulas tentang kemunculan penyampai-penyampai baharu di stesen radio yang memperlihatkan bahawa kerjaya berkenaan antara yang diminati.

Katanya, apa yang penting ialah keikhlasan dalam melakukan kerja tersebut dan bukan hanya untuk mengejar populariti semata-mata.

“Pada saya untuk berjaya dalam apa juga bidang kita perlu ikhlas dengan kerjaya kita. Kita jangan mengharapkan populariti semata-mata bila masuk bidang ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.