Prof Dr Wu Zong Yu Yakin Bahasa Melayu Miliki Kekuatan Untuk Jadi Bahasa Antarabangsa

Beijing – Seorang profesor di Beijing Foreign Studies University (BFSU) yakin bahasa Melayu yang dituturkan oleh lebih 300 juta orang memiliki kekuatan untuk menjadi bahasa perhubungan antarabangsa yang penting.

Pengarah Pusat Pengajian China-Melayu BFSU, Prof Dr Wu Zong Yu berpendapat dalam konteks ekonomi, politik dan sosial, bahasa Melayu akan menjadi lebih penting khususnya di rantau Asia apabila projek kereta api Asean merentas China dari Nanjing ke Singapura dilaksanakan.

“Saya yakin apabila tender projek itu di China dilaksanakan, lebih ramai orang akan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, petang semalam.

Sebelum itu, Dr Wu bersama pemegang kerusi Pusat Bahasa Melayu BFSU, Prof Dr Mohd Taib Dora menyambut keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk bertemu pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di universiti itu.

Turut hadir Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis mengetuai delegasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari tujuh universiti awam (IPTA) di Malaysia melakukan lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan ke kem tentera dan universiti di Beijing bermula 14 Nov hingga 17 Nov ini.

Menurut Dr Wu bilangan petutur bahasa Melayu di China meningkat apabila kerajaan China mementingkan bahasa Melayu dengan mewujudkan Jabatan Pengajian Melayu di 10 buah universiti sejak 1961.

BFSU turut meningkatkan pengambilan pelajar China mengikuti jurusan pengajian Bahasa Melayu kepada 24 orang tahun ini berbanding 15 orang. Pengambilan itu dibuat sekali setiap dua tahun, katanya.

Beliau berkata pada masa ini, 200 pelajar Malaysia mengikuti pengajian peringkat ijazah Bahasa Mandarin di BSFU, tidak termasuk di beberapa universiti lain.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah supaya pelajar-pelajar Malaysia di China sentiasa bersyukur, berfikiran terbuka dan bercampur gaul dengan masyarakat tempatan.

“Adik-adik semua janganlah hidup dalam kelompok sendiri sahaja jika mahu memperluaskan jaringan malah hendaklah bercampur gaul dengan pelajar-pelajar antarabangsa,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan pelajar-pelajar supaya sentiasa berhubung dengan ibu bapa atau penjaga mereka dengan menggunakan pelbagai medium aplikasi yang memerlukan kos minimum.

Dalam lawatan itu, pelajar-pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Bahasa Mandarin mempersembahkan dikir barat dalam bahasa Mandarin manakala pelajar China yang mengikuti pengajian Bahasa Melayu mempersembahkan beberapa nyanyian dalam bahasa Melayu dan tarian Melayu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang diPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) menyampaikan sumbangan MAIPs dan YSTP masing-masing RM1,000 kepada empat pelajar anak Perlis yang belajar di BFSU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.