Ajai Tidak Percaya Kredibiliti Penganjuran AIM

Petaling Jaya – Komposer dan penyanyi Ajai, 39, memberitahu dia tidak lagi menghantar sebarang pencalonan bagi menyertai Anugerah Industri Muzik (AIM) sejak dua tahun lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kredibiliti penganjuran penganugerahan.

Memetik kenyataan di mStar online, Ajai berkata, perkara tersebut disedari selepas insiden kesilapan pemilihan Lagu Terbaik AIM 18 kepada Yuna terpaksa ditarik balik tiga tahun lalu yang benar-benar memberi kesan kepada penggiat industri muzik lain.

“Saya sudah tidak percaya AIM sejak kemenangan lagu Yuna berjudul Penakut sebagai Lagu Terbaik pada AIM 18 ditarik balik dan diberikan kepada lagu Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih.

“Di situ sahaja kita dapat lihat bagaimana cacatnya proses anugerah ini dilakukan, walhal mereka mempunyai juru audit dan komiti tersendiri. Adakah keputusan yang diterima daripada auditor dan komiti berbeza?,” soalnya.

Jelas Ajai, perkara tersebut menjadi tanda tanya pelbagai pihak sehingga ramai pengiat muzik seangkatan dengannya tidak lagi menghantar pencalonan mereka.

Katanya, proses pengendalian anugerah tersebut yang diuruskan komiti baharu juga menyumbang kepada faktor yang membuatnya tidak lagi mempercayai anugerah berprestij tersebut.

“Ini hanya pandangan peribadi saya sahaja, ada sebab kenapa saya tidak percayakan AIM lagi selepas ia diuruskan oleh orang-orang baharu dalam industri.

“Ia tidak sama lagi seperti diuruskan oleh Jennifer Thomson dahulu yang mana kita lihat hasil pemenang yang diumumkan seiring dengan kejayaan artis itu dalam industri pada tahun tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ajai berkata, dia tidak menghalang artis-artisnya untuk menghantar pencalonan ke anugerah tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.