KUALA LUMPUR – Keputusan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh diklasifikasi sebagai melompat parti dan hilang kerusi Parlimennya.
Lapor Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebagai ahli Parlimen, beliau berhak mengundi sesiapapun meskipun bercanggah dengan pendirian parti yang beliau wakili.
Khamis lalu, Iskandar Dzulkarnain membuat keputusan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, tindakan menakut-nakutkan pemimpin itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh majoriti dua pertiga majoriti Dewan Rakyat.
Tambah Wan Ahmad, ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap mana-mana pemimpin tidak akan kehilangan kerusi yang dimenangi.
“Itulah yang dikatakan sebagai demokrasi berparlimen apabila seseorang ahli Parlimen boleh menyatakan sokongannya kepada mana-mana pemimpin parti.
“Justeru, Iskandar masih Ahli Parlimen Kuala Kangsar kerana beliau tidak melompat parti atau keluar daripada Perikatan Nasional (PN),’’ katanya.
Mengulas lanjut berkaitan rasuah dan ugutan yang diterima oleh Iskandar, Wan Ahmad berkata perkara itu merupakan andaian oleh PN dan tiada bukti kukuh.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, Bersatu hanya akan mengambil tindakan drastik menggugurkan keahlian Iskandar Dzulkarnain jika beliau bertukar kerusi dan duduk di blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Razali berkata, ketika ini, parti belum menentukan nasib yang akan dihadapi oleh Iskandar Dzulkarnain.
“Parti belum membincangkan apa tindakan bakal dikenakan, tetapi tidaklah sampai hentikan keahlian. Dia kalau cross the line, itu baru berhenti. Kalau duduk sebelah kerajaan itu lain. Itu yang kena ambil tindakan.
“Beliau mungkin tidak melanggar undang-undang melompat parti, tetapi ini sudah bercanggah dengan prinsip dan perlembagaan parti.
“Jujurnya, saya benar-benar terkilan sebab tiada ribut tiada hujan, tiba-tiba dikhabarkan beliau ditekan oleh kerajaan dan pihak berkuasa. Jika alasan beliau disebabkan peruntukan, pemimpin lain pun berdepan masalah serupa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata, kedudukan Iskandar Dzulkarnain sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak terjejas walaupun keahliannya dalam Bersatu berkemungkinan digugurkan.
Ini kerana Bersatu tidak mempunyai klausa undang-undang yang menyatakan mana-mana ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat daripada parti dianggap sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusi dengan serta-merta.
“Tidak ada (undang-undang Bersatu pecat wakil rakyat dianggap lompat parti),” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, hanya Iskandar Dzulkarnain satu-satunya dalam kalangan 29 ahli Parlimen Bersatu menerima ugutan seperti mana dakwaan Hamzah Zainudin kononnya Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar itu diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal menyokong kerajaan.