Polis Cekup Pemilik FB KT Vasagam Kerana Muat Naik Gambar Babi Halal

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook dengan nama KT Vasagam yang memuat naik gambar khinzir berlogo halal dalam media sosial itu berjaya dicekup polis semalam.

Suspek yang merupakan ejen pelancongan telah ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek telah memuat naik gambar babi dengan logol halal di laman Facebook peribadinya pada 14 Oktober lalu yang dianggap menghina agama Islam.

“Kita tahan suspek dan disiasat di bawah 505c Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2012 selepas menerima lapan laporan polis di seluruh negara ekoran tindakan suspek itu.

“Suspek bekerja sebagai ejen pelancongan di Pulau Pinang memuat naik kandungan FB dengan gambar profil peribadinya memaparkan gambar seekor babi dengan logo halal berserta kenyataan jelik “Mufti?Hadi?Zakar Naik?Mullah?Lebai?…explain”.

“Dia datang ke Balai Polis Timur Laut sebelum ditahan di sana untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media harian JSJ Bukit Aman pagi ini.

Suspek turut membuat hantaran “Did you know that insulin used for diabetics is sourced from pig meat.And 25% of the Arab people use it. Now tell me how Allah was right about pigs”.

Menurut Huzir, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau di bawah Seksyen 233 boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM20,000 atau kedua dua sekali.

Dalam satu lagi perkembangan Huzir ditanya mengenai klip video sebuah kereta yang mengibarkan bendera harimau LTTE berwarna merah disyaki di lebuh raya yang tular baru-baru ini.

Katanya, polis telah menyemak nombor pendaftaran kenderaan itu sebelum bergegas ke alamat yang didaftarkan tetapi didapati suspek tidak wujud di alamat berkenaan.

“Siasatan mendapati ia didaftarkan ke atas nama lelaki lain yang tidak berkaitan dengan insiden tersebut dan kita sedang siasat perkara ini untuk tindakan sewajarnya,” tegasnya tanpa mengulas lanjut. – MalaysiaGazette

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.