Jangan Dibiarkan Pengganas LTTE Berkembang Di Malaysia – MAPIM

Jangan biarkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang diisytiharkan sebagai pengganas ‘bersarang’ dan berkembang di Malaysia, kata Presiden Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Hamid.

Beliau berkata, kumpulan yang didapati terbabit menyokong gerakan LTTE yang telah dihapuskan oleh kerajaan Sri Lanka pada 2009, tidak harus dibiarkan menghidupkan kembali gerakannya dengan menjadikan Malaysia sebagai tapak dan pangkalan operasi.

“Soal perjuangan mereka menuntut kemerdekaan di tanah air mereka adalah hak mereka. Tetapi untuk dikembangkan di Malaysia adalah suatu yang tidak boleh dibenarkan,” tegasnya.

Ini kerana, katanya, pendekatan militan yang berideologi asing bukan sahaja berbahaya, malah akan mengancam keselamatan negara.

Untuk rekod, LTTE adalah kumpulan bersenjata yang telah terlibat dalam operasi serangan di Sri Lanka termasuk ke atas masjid yang mengorbankan orang Islam.

Mereka, malah menuduh orang Islam terbabit dalam menyokong kerajaan Sri Lanka dan dengan sebab itu mereka telah menjadikan muslim sebagai sasaran.

“Serangan ke atas Masjid Kattankudy pada 3 Ogos 1990 tidak boleh dilupakan. Seramai sekitar 30 tentera militan LTTE telah menyerang empat buah masjid di Kattankudy ketika 300 muslim sedang sujud ketika solat Isyak berjemaah. Seramai 147 orang terkorban akibat serangan berkenaan,” katanya

Justeru, Mohd Azmi menegaskan, membenarkan kumpulan itu bergerak bebas di Malaysia adalah berbahaya, apatah lagi lebih 30 negara telah mengkategorikan LTTE sebagai pengganas.

“Tidak mungkin ideologi Tamil yang asing dari Malaysia dan banyak negara yang lain boleh dibenarkan untuk berkembang di negara ini. Implikasi keselamatan negara mesti diutamakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menolak kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang menyatakan menahan mereka yang terbabit LTTE adalah bertentangan dengan hak asasi manusia.

“Kami mengecam sejumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Parlimen yang mencabar Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada bertindak menyiasat mereka yang disyaki.

“Penglibatan beberapa pimpinan parti politik di Malaysia sebagai ahli senat kepada LTTE adalah mengejutkan dan pasti harus disiasat sejauh mana mereka menyokong gerakan bersenjata itu di Malaysia. PDRM perlu menggunakan undang-undang yang diperuntukkan dalam negara,” katanya. – IsmaWeb

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!