Takiyuddin Tegaskan PAS Tak Sokong Oktoberfest

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Oktoberfest, malah akan menentang habis-habisan jika pesta arak tersebut menimbulkan masalah dan mengancam ketenteraman awam.

Menurut Takiyuddin, kenyataannya sebelum ini bahawa apa sahaja majlis melibatkan arak tidak boleh dianjurkan sekiranya boleh menimbulkan keresahan, kacau ganggu, menyentuh sensitiviti dan menimbulkan kekacauan telah disalahtafsirkan oleh media.

“Saya ingin menjelaskan mengenai kenyataan saya yang disalahertikan mengenai penganjuran Oktoberfest.

“Saya ingin menyatakan kenyataan lisan saya kepada pihak media itu telah tidak disiarkan sepenuhnya dan dipetik di luar dari konteks sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyanggah laporan berita yang mengatakan Takiyuddin bersetuju dengan kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad bahawa penganjuran Oktoberfest boleh dibenarkan dengan syarat.

Menurut laporan tersebut, Takiyuddin berkata, kenyataan Khalid adalah langkah yang perlu dibuat oleh kerajaan.

Tambah Takiyudin, beliau telah menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatanm (PBT) mengeluarkan secara terkawal permit dan lesen perniagaan kepada peniaga bukan Islam dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Masyarakat bukan Islam juga boleh mengadakan majlis yang menghidangkan arak dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan terutama tidak melibatkan langsung orang Islam.

“Secara umum saya juga mengatakan sekiranya majlis atau pesta yang melibatkan arak mematuhi syarat-syarat seperti yang diperkenalkan dan ditetapkan oleh PBT di Kelantan ia dianggap memenuhi peraturan tersebut dan boleh dibenarkan,” katanya. – SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.