Selangor Tidak Halang OctoberFest, Tidak Anggap Ia Pesta Arak – Exco

SHAH ALAM – Kerajaan negeri tiada halangan membenarkan penganjuran ‘Oktoberfest 2018’ tertakluk kepada syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti mana dasar dibuat sebelum ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim, berkata, pendirian itu telah dicapai sejak tahun lalu lagi apabila isu berkenaan hangat diperkatakan.

Ia sekaligus menafikan kenyataan Exco Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari, bahawa kerajaan negeri bercadang tidak membenarkan mana-mana penganjuran program berkenaan.

“Kenyataan dibuat beliau adalah tidak benar. Pertama, pesta ini bernama Oktoberfest bukannya pesta arak kerana ia juga ada hidangan lain, lebih kepada pesta makanan. Tidak perlu sensasikan isu dengan tukar nama.

“Sejak perkara ini disensasikan, kerajaan negeri telah memutuskan segala kegiatan perniagaan boleh membuat permohonan kepada PBT dan kelulusan tertakluk kepada syarat sedia ada.

“Tidak ada isu bahawa kerajaan negeri tidak benarkan kegiatan seperti itu. Saya kira beliau masih baru belum sampai lima bulan dan tidak mengetahui dasar dan pendirian kerajaan negeri kerana ia telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menyelar pandangan Abdul Rashid yang menganggap Oktoberfest adalah program yang tidak bermoral.

“Ia tidak wajar dan adalah pendapat peribadi beliau. Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan budaya, jadi sepatutnya beliau hormat semua kaum dan budaya yang ada,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambah Teng Chang Khim, beliau tidak melihat penganjuran Oktoberfest menimbulkan masalah atas dasar peraturan sedia ada sebaliknya isu itu disensasikan oleh orang politik dan golongan pelampau tertentu yang enggan memahami konsep masyarakat majmuk.

Ujarnya, antara syarat ditetapkan tentunya berkaitan kesesuaian tempat penganjuran dan larangan kepada orang Islam.

“Oktoberfest melibatkan beer bukan minuman keras. Kerana beer tidak ditafsirkan sebagai minuman keras mengikut akta kastam itu sendiri.

“Bagaimanapun beer itu tidak boleh diminum oleh orang Islam jadi mereka tidak boleh menghadiri pesta ini. Saya kira ia sudah jelas dan tidak perlu disensasikan melainkan pihak penganjur jemput orang Islam,” katanya.

Tegasnya, kebimbangan tentang kesan selepas acara itu berlangsung juga tidak perlu diperbesarkan.

“Tidak semestinya minum itu sampai mabuk. Sekarang ini kita ada undang-undang sesiapa yang minum sehingga mabuk dan memandu boleh dipenjarakan.

“Jadi kalau mabuk, tangkaplah. Masukkan ke penjara. Kalau dia minum dan mabuk, tapi naik teksi atau Grab serta tidak kacau orang, jadi tak ada masalahnya. Bukan semua yang minum itu mabuk. Saya sendiri telah menghadiri Oktoberfest dan ia dalam keadaan terkawal,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.