Rafizi Dakwa Politik Wang Berleluasa Dalam PKR, Saifuddin Pula Kata Belum Terima Laporan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu masih belum menerima sebarang aduan berhubung amalan politik wang sebagaimana dakwaan seorang pemimpinnya hari ini.

Saifuddin berkata, mana-mana ahli parti yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

“Jika ahli mengetahui politik wang berlaku mereka boleh membuat aduan,” katanya dipetik Berita Harian.

Tambahnya, Pejabat Setiausaha Agung sehingga kini masih belum menerima aduan daripada mana-mana pihak mengenai perkara tersebut.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli melahirkan kebimbangannya mengenai amalan politik wang yang berlaku secara berleluasa ketika musim pemilihan parti.

Mantan Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, perkara itu sudah dikesan berlaku di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti.

Rafizi yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dilaporkan mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini dan pihak “sebelah sana” bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau juga tidak menerima sebarang aduan daripada Rafizi sendiri mengenai perkara tersebut.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu  menambah, sekiranya dakwaan itu benar, beliau percaya ada aduan akan dibuat dan parti sedia berbincang isu itu.

“Kita juga sedia berbincang dengan Rafizi kerana beliau terbabit dalam pemilihan ini,” katanya.

Pada pemilihan kali ini, Rafizi bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -SuaraTv 

One thought on “Rafizi Dakwa Politik Wang Berleluasa Dalam PKR, Saifuddin Pula Kata Belum Terima Laporan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.