Putrajaya Beku Permohonan Kilang Kitar Semula Sisa Pepejal

KUALA LUMPUR: Kerajaan membekukan semua permohonan membuka kilang kitar semula sisa pepejal di seluruh negara sehingga jawatankuasa ditubuhkan Putrajaya membuat keputusan berhubung isu itu, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, jawatankuasa peringkat tinggi itu antara lain membabitkan kementeriannya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan untuk menghentikan pengimportan sisa plastik dan melarang penggunaan sisa plastik campuran yang tidak boleh dikitar semula.

“Kerajaan komited dalam mengurangkan sisa plastik. Kami tidak akan membenarkan Malaysia menjadi tapak pembuangan sisa plastik,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil tindakan tegas terhadap kilang pemprosesan sisa pepejal haram, termasuk menyita premis terbabit.

Sehingga kini, katanya, kira-kira 30 syarikat sudah ditutup kerana mengimport dan menghasilkan sisa plastik haram, dengan kerajaan turut memotong bekalan air serta elektrik premis itu.

“Saya akan memastikan setiap sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula dengan baik dan mengikuti Akta Kualiti Alam Sekitar diharamkan di Malaysia.

“Kita juga dalam proses semak semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk dipinda tahun depan,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung langkah mengurangkan pencemaran plastik dan cadangan kerajaan mengharamkan pengimportan sisa pepejal dari negara lain. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.