Pindaan AUKU Akan Dibentangkan Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pindaan beberapa perkara dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat Disember ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pindaan itu membabitkan kebebasan pelajar untuk berpolitik, pengawalan pihak universiti terhadap kegiatan pelajar dan membolehkan setiap universiti menubuhkan kesatuan pelajar.

“Janji Pakatan Harapan (PH) adalah untuk memansuhkan AUKU, namun ia mengambil proses yang panjang. Oleh sebab itu, kita akan melakukan beberapa pindaan terhadap AUKU terlebih dulu.

“Pindaan yang akan dilakukan ini adalah bagi memberi kuasa dan kebebasan kepada pelajar supaya mereka tidak lagi disekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi rakaman program Soal Rakyat yang dihoskan pengacara Ally Iskandar dan Hazrena Kassim di Sri Pentas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, kebebasan yang diberikan kepada pelajar bagaimanapun harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan mensasarkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara akan mencapai 100 peratus ciri Sekolah Bestari menjelang 2020.

Maszlee berkata berkata, sasaran itu mampu dizahirkan berikutan 98 peratus sekolah kendalian kementeriannya sudah mencapai tahap Bestari minimum tiga bintang tahun ini.

“Kita masih ada dua peratus sekolah yang belum mencapai ciri-ciri ini, namun saya yakin kita mampu menzahirkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ciri sekolah Bestari ini ialah mencapai standard minimum berdasarkan piawaian antarabangsa dari segi domain kepemimpinan berwawasan, pembangunan profesionalisme dan penilaian serta pembelajaran berpusatkan murid,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.