Pengganti Jurulatih Renang Dibincang November, Kata Shapawi

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) masih belum mengadakan perbincangan dengan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengenai jurulatih baru renang negara bagi menggantikan Paul Birmingham yang meletak jawatan Jun lalu.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail perkara itu dijangka akan dibincangkan ketika mengadakan bengkel dengan semua persatuan sukan termasuk ASUM bulan depan.

“Kami akan mengadakan perbincangan mengenai program tahun depan bagi setiap persatuan dan dari situ kami akan membincangkan mengenai jurulatih baru renang negara,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Jelas Shapawi, bengkel itu bukan hanya akan membincangkan mengenai sukan renang tetapi program untuk atlet terjun.

Sebelum ini Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen memberitahu menerima permohonan daripada 26 individu membabitkan jurulatih dari Amerika Syarikat, Australia, Sepanyol, Mexico dan Belanda.

Bagaimanapun, permohonan yang ditutup hujung bulan lalu itu tidak membabitkan jurulatih dari China.

Selepas 10 tahun bersama skuad negara, Birmingham meletak jawatan Jun lalu dengan tugas terakhirnya pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Penolong jurulatih, Jeffery Ho mengambil alih tugas Birmingham buat sementara waktu termasuk ketika membawa perenang mengambil bahagian pada Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires baru-baru ini.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.