Lebih teruk daripada itu, kerajaan PH mendakwa kebenaran untuk meraikan program tersebut walau bersyarat ia adalah hak yang dibenarkan Islam untuk mereka yang bukan Islam.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui mereka yang bukan Islam mempunyai hak dalam menjalankan sebarang urusan dengan minuman keras tetapi festival yang berasal dari Munich, Jerman itu melanggar hak majoriti orang Islam.

“Ia hanyalah desakan dan kehendak segelintir penafsu yang berhasrat menjauhkan rakyat daripada kehidupan bertata susila dan mendorong mereka untuk mempromosi budaya buruk barat dan menerimanya sebagai budaya hidup negara.

“Mereka ini harus ditentang, bukan diraikan,” katanya dalam status Facebook beliau hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nik Mohamad Abduh berkata, kerajaan PH sepatutnya menyumbang kepada pendidikan dan kempen anti minuman keras.

“Apakah bukan Muslim dalam negara kita akan sedih atau kerugian jika keluarga dan komuniti mereka berjaya keluar daripada aktiviti meminum arak? Saya yakin mereka juga akan gembira,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya mendesak kerajaan PH untuk tidak membenarkan budaya buruk itu diamalkan di Malaysia.

“Mari bersama memelihara agama, adat, budaya dan cara hidup kita rakyat Malaysia yang murni dan penuh sopan,” katanya. – UTUSAN ONLINE