Oktoberfest Kehendak Penafsu Yang Promosi Budaya Barat, Kata Nik Abduh

KUALA LUMPUR –  Anggota Jawatankuasa PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan pesta arak atau  Oktoberfest cuma kehendak segelintir golongan.

Jelasnya golongan itu adalah yang ghairah untuk mempromosikan budaya buruk barat.

“Ia hanyalah desakan dan kehendak segelintir penafsu yang berhasrat menjauhkan rakyat daripada kehidupan bertata susila dan mendorong mereka untuk mempromosi budaya buruk barat dan menerimanya sebagai budaya hidup negara.

“Mereka ini harus ditentang, bukan diraikan,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi postingnya di Facebook malam tadi. 

Walaubagaimanapun Nik Abduh  tidak menafikan hak bukan Islam terhadap minuman keras tetapi menegaskan penganjuran festival arak melanggar hak umat Islam.

“Tetapi untuk menjadikannya sebagai festival tahunan negara adalah telah turut melanggar hak orang lain terutama hak majoriti umat Islam.

“Ia mengganggu perasaan, maruah, malah nyata boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat semuanya.

“Maka festival arak adalah terkeluar daripada menjadi hak non muslim semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memberi lampu hijau terhadap penganjuran Oktoberfest jika penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada 12 Oktober lalu berkata tiada larangan untuk penganjuran pesta arak ‘Oktoberfest 2018’.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.