Menteri: Hukuman Mati Tak Berkesan Kurangkan Kadar Jenayah

KUALA LUMPUR: Hukuman mati mandatori bukan langkah pencegahan berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Katanya, kajian International Centre for Law and Legal Studies (I-CeLLs) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Peguam Negara mendapati keberkesanan hukuman mati sebagai langkah pencegahan tidak dapat dipastikan.

“Ini memandangkan ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi bilangan pendakwaan atau kadar jenayah,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam) yang ingin tahu justifikasi kerajaan bercadang memansuhkan hukuman mati.

Liew memberi contoh kes dadah yang masih meningkat, walaupun Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman mati mandatori.

“Ini bermakna menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka tak berapa berkesan. Sebanyak 142 negara di dunia ini menghapuskan hukuman gantung (sampai) mati dan 56 negara masih amalkannya.

“Dalam kalangan negara yang hentikan hukuman mati ini, tak bermakna kes-kes dikatakan YB telah menurun. Kita kena ambil tindakan baik dan wajar sama ada kita penjara sepanjang hayat atau seumur hidup minimum 30 tahun.”

Beliau berkata, justifikasi lain pemansuhan hukuman mati ialah hukuman itu tidak boleh diperbaiki atau dipulihkan.

“Terdapat risiko sabitan hukuman mati terhadap individu yang tak tersalah. Di negara kita ada kes orang dituduh bunuh disebabkan keterangan palsu saksi.

“Walaupun sabitan terhadap tertuduh diketepikan, tapi kes ini menunjukkan orang tak bersalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.”

Katanya, pemansuhan hukuman mati bertujuan menghormati norma hak asasi antarabangsa.

Mengenai kebimbangan keluarga mangsa bunuh terhadap cadangan memansuhkan hukuman mati, Liew berkata, pembunuh tidak akan dibebaskan sewenang-wenangnya kerana mereka akan dikenakan hukuman penjara setimpal.

“Pemansuhan hukuman mati juga termasuk dalam janji manifesto Pakatan Harapan.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.