Hadi Tak Setuju Mansuh Hukuman Mati, Saran Kerajaan Kaji Lebih Adil

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Ahli Parlimen Marang itu berpendapat, sewajarnya kesalahan jenayah yang berkaitan dihukum mengikut kaedah hukuman berperingkat.

Ujarnya, hukuman mati mandatori perlu dijadikan sebagai pilihan terakhir selepas hukuman lebih ringan dikenakan, seperti kaedah hukuman ta’zir dalam Islam.

“Saya harap kerajaan dapat mengkaji terlebih dahulu keputusan berkenaan mengikut proses yang adil dan betul mengikut peringkat-peringkat tertentu.

“Walaupun hukum mati mandatori diperuntukkan bagi kesalahan dadah, mesti didahulukan dengan hukuman lain dulu,” katanya dipetik FMT.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kertas kerja mengenainya kini dalam fasa akhir malah Jabatan Peguam Negara telah memaklumkan pemansuhan itu bakal dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Liew berkata hukuman mati mandatori akan digantikan dengan penjara minimum 30 tahun jika Parlimen meluluskan pemansuhannya.

Hasrat tersebut bagaimanapun mendapat maklum balas negatif segelintir pihak.

Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan disarankan untuk membuat kajian mendalam terlebih dahulu sebelum memansuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pesalah.

Selain itu, ia juga mendapat bantahan keluarga mangsa tragedi bunuh, yang berpendapat kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan itu kerana ia tidak adil kepada mangsa dan keluarga mereka.

Terdapat 18 kesalahan jenayah memperuntukkan hukuman mati seperti mengedar dadah, membunuh, rogol kanak-kanak, rogol hingga menyebabkan kematian dan menggunakan senjata api, selain terorisme dan melancarkan perang. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.