CEC DAP Tegur Wakil Rakyat Terima Darjah Kebesaran Langgar Pendirian Parti

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menegur mana-mana wakil rakyatnya yang menerima penganugerahan darjah kebesaran yang disifatkan sebagai bertentangan dengan pendirian parti sejak sedekad yang lalu.

Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook menyifatkan tawaran penganugerajan sepatutnya dirujuk terlebih dahulu dengan parti.

Namun beliau tidak menyebut tindakan selanjutnya yang sepatutnya diambil oleh mana-mana wakil rakyat yang baru-baru ini menerima darjah kebesaran.

“Oleh itu, CEC ingin menegur pemimpin DAP yang menafikan dan mendakwa tidak tahu tentang pendirian parti sejak sedekad lalu.

“Pemimpin yang cuba memberikan alasan untuk menerima anugerah tanpa memaklumkan atau menunggu arahan daripada kepimpinan parti akan dilihat sebagai tidak menghormati parti.

“Apa jua tawaran anugerah dan gelaran harus dirujuk kepada kepimpinan pusat DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Parlimen DAP itu dalam masa yang sama memaklumkan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah memutuskan bahawa wakil rakyat dan ahli majlis tempatan parti itu tidak akan menerima sebarang anugerah atau gelaran selagi dalam perkhidmatan politik.

Untuk rekod, mesyuarat itu diadakan semalam diadakan susulan beberapa pemimpin DAP ditawarkan anugerah termasuk Pengerusi DAP Melaka Tan Kok Kiew, Timbalan Speaker DUN Melaka Wong Fort Pin, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, Naib Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan ADUN Sri Tanjung Jimmy Wong.

Mengulas lanjut, Loke berkata, Tan telah dimaklumkan dan diberitahu secara jelas tentang kata sepakat oleh CEC sejak sedekad lalu pada Julai dan CEC memutuskan untuk menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak dirujuk berhubung tawaran anugerah dan gelaran tersebut.

Begitu juga, katanya dengan pemimpin DAP Sabah yang menerima anugerah dan gelaran masing-masing dengan menambah bahawa mereka terlibat dalam politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya mengejar kemasyhuran, gelaran atau kedudukan.

“DAP mengiktiraf pentingnya anugerah dan gelaran sebagai cara untuk menghargai sumbangan mereka yang menjadi tokoh ulung dalam masyarakat.

“Dan oleh itu menasihati wakil rakyat dan ahli majlis tempatan untuk menerima penghormatan ini selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, mungkin selepas mereka telah menyumbang kepada masyarakat pada umumnya,” katanya.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.