Wanita Dituduh Skandal Dengan Ketua Pengarah SPRM Tampil Beri Penjelasan

Sejak beberapa hari lepas, kecoh mengenai dakwaan pegawai tinggi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai hubungan sulit dengan `isteri orang’ dan makan angin di sebuah pulau peranginan di Indonesia.

Kekecohan itu berlaku susulan penyebaran sebuah video yang menceritakan mengenai kronologi kedua-dua mereka, bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hinggalah ke pulau berkenaan pada 28 Julai lalu.

 

Video tersebut juga mendakwa keduanya memasuki resort sama dua hari kemudian.

Menerusi kenyataan di Facebook semalam, wanita berkenaan tampil menjelaskan kedudukannya berhubung skandal yang didakwa menjadi punca penceraian beliau dan bekas suaminya.

Wanita itu memberitahu dia tampil membuat penjelasan berkenaan kerana bimbang isu tersebut akan menjadi lebih buruk.

“Cukuplah saya dan bekas suami serta ibu dan bapa sahaja yang tahu apakah punca saya memfailkan permohonan cerai di mahkamah. Biarlah seluruh dunia menuding jari kepada saya, namun untuk saya tampil ke hadapan membuat pendedahan tidak sama sekali kerana ia akan hanya memburukkan keadaan dan melukakan hati lebih banyak pihak.

“Perkara ini telah pun selesai dan demi masa depan anak-anak, saya perlu teruskan kehidupan seperti biasa. Bekerja dan menjaga anak-anak sebaik yang termampu,” ujarnya.

Ujarnya, sepertimana insan lain di dunia, wanita itu berkata dia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan namun dia menafikan menjalin hubungan bersama pegawai tinggi SPRM berkenaan, lapor mD.

Wanita itu turut memohon maaf kepada orang kanan SPRM berkenaan serta seluruh ahli keluarganya kerana dipalit dakwaan sumbang tersebut.

“Secara peribadi, saya amat berharap agar Tan Sri tidak akan mengalah walau selangkah pun jua kerana saya yakin hanya insan seperti beliau yang mampu mengubah nasib rakyat dan negara ini.

“Teruskan usaha untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia. Jangan takut, jangan gentar! This country needs you, Tan Sri! Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati perjuangan SPRM,” ujar wanita tersebut menamatkan penjelasannya.

Pegawai kanan SPRM itu didakwa sebagai Datuk Dzulkifli Ahmad.

Bagi penganalisis politik Raja Petra Kamaruddin, beliau melihat tuduhan skandal tidak bermoral melibatkan Dzulkifli timbul gara-gara pembangkang tidak senang duduk dengan tindakan SPRM semakin tangkas memburu ‘ikan besar’ dalam dunia rasuah negara.

Ujarnya, pembangkang kini dalam keadaan tertekan hingga memaksa mereka mula menyerang orang nombor satu SPRM sebagai kaedah melemahkan badan berkanun berkenaan.

Jelasnya, modus operandi memalitkan Dzulkfli dengan skandal seks, lebih-lebih lagi bersama isteri orang adalah cara bagi melemahkan semangat beliau, namun strategi berkenaan tidak berkesan.

“Anwar Ibrahim, Mustafa Ali, Mat Sabu, Muhyiddin Yassin, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Zairil Khir Johari, Dyana Sofya Mohd Daud dan ramai lagi juga dikaitakan dengan skandal seks, dan hari ini pemimpin politik itu melihat karier politik mereka tidak kemana-mana,” katanya dipetik Malaysia Today.

Tambahnya, gambar digunakan untuk mengugut Dzulkifli telah disunting oleh penyunting profesional – kaedah sama digunakan Sarawak Report dalam memalsukan bukti berhubung kes bekas pegawai PetroSaudi, Xavier Andre Justo – yang menjadi bahan politik pembangkang sejak sekian lama.

Katanya lagi, Dzulkifli pastinya melakukan kerja terbaik dalam membanteras rasuah secara besar-besaran sehingga ‘cyber-trooper’ pembangkang berkempen berhabis-habisan mengedarkan lebih 100 gambar dan 10 video palsu untuk memburukkannya.

“Dzulkifli sudah biasa dengan ugutan dan amaran sebegini, kerana hal ini sudah berlarutan untuk masa yang lama, jadi beliau memutuskan untuk mengendahkannya dan meneruskan apa yang dilakukan selama ini.

“Beliau tidak akan berundur hanya kerana seseorang mengugutnya untuk mendedahkan gambar dan video ‘mengaibkan’ jika beliau terus mengejar ahli pembangkang,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.