Video: Penjaga Gol Indonesia Maut Selepas Berlanggar Rakan Sepasukan Atas Padang

Penjaga gol Indonesia, Choirul Huda, 38, meninggal dunia dalam keadaan tragis selepas berlanggar  dengan rakan sepasukannya Ramon Rodrigues ketika mengejar bola dalam perlawanan antara Persela menentang Semen Padang.

Huda merupakan penjaga gawang Persela. Ketika kejadian, Choirul mahu menyelamatkan bola namun gagal mengelak daripada berlanggar dengan Ramon, yang merupakan pemain pertahanan pasukannya, ketika  dalam perlawanan pada masa pertama.

Selepas perlanggaran itu, Huda masih sedarkan diri dan memegang pipinya. Namun keadaan semakin kritikal selepas itu.

“Dia masih sedar dan mengadu sakit di bahagian dada. Kemudian dia tidak sedarkan diri,” kata salah seorang anggota pasukan perubatan.

Huda kemudiannya dikejarkan ke hospital besar di Lamongan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 5 petang. Dia dikelilingi oleh pasukan Persela yang berada di sampingnya di hospital.

“Semua pemain menamatkan perlawanan dan terus ke hospital di mana Choirul Huda meninggal dunia. Kematiannya memberikan kesan kepada kami,” kata jurulatih pasukan, Aji Santoso.

Dalam pada itu, pengarah hospital, Dr Zaki Mubarok, berkata, ketika dibawa ke hospital Choirul masih bernafas namun dia meninggal dunia pada pukul 5 petang.

“Berdasarkan pemeriksaan, kematiannya disebabkan kesan perlanggaran di bahagian kepala dan leher,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.