Rombongan 15 Tahfiz Tunai Umrah Tajaan Vida Berlepas Rabu Ini

PETALING JAYA — Seramai 15 pelajar dan tiga guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) yang terbakar bulan lalu, dijadual mengerjakan umrah 18 Oktober ini.

Mereka adalah kumpulan pertama yang ditaja jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau Dr Vida untuk menunaikan ibadah tersebut, lapor mStar.

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu berkata rombongan dibuat berasingan kerana masalah visa pelajar dan guru pusat tahfiz.

Beliau yang berlepas awal, Sabtu lalu walaupun jadual asal 12 Oktober depan, akan menyambut mereka di Jeddah pada Rabu depan.

Selain menunaikan umrah, mereka juga akan menziarahi tempat bersejarah.

“Tarikh perjalanan untuk kumpulan kedua belum ditetapkan kerana masih ada yang cedera dan belum pulih sepenuh. Insya-Allah mungkin tahun depan,” katanya.

Sambil berterima kasih, pengetua pusat tahfiz tersebut Mohd Zahid Mahmood menyifatkan tajaan itu langkah terbaik untuk semua pelajar dan mangsa bagi mengatasi trauma.

“Terima kasih kepada Datuk (Seri) Vida. Sekurang-kurangnya kesemua mangsa boleh menghilangkan trauma dan saya juga anggap ini satu anugerah kepada pelajar yang dipanggil oleh Allah untuk menunaikan umrah,” katanya.

Pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur hangus pada 14 September lalu dan mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.