Penumpang Kritik Kru AirAsia Tidak Profesional Hadapi Kecemasan Di Udara

Pesawat AirAsia dalam perjalanan dari Perth ke Bali yang turun secara tiba-tiba untuk melakukan pendaratan pada ketinggian 20,000 kaki akibat “isu teknikal” telah meletakkan 145 penumpang dalam keadaan yang begitu panik, yang mana kebanyakan daripada mereka mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga masing-masing.

“Saya sebenarnya memegang telefon dan menghantar teks kepada keluarga saya, berharap mereka akan mendapatnya.

“Kami semua mengucapkan selamat tinggal kepada satu sama lain. Ia benar-benar mengecewakan,” kata salah seorang penumpang bernama Leah kepada 9News.

Difahamkan, keadaan semakin panik apabila kru pesawat tidak begitu membantu dalam keadaan genting itu. Rakaman memaparkan seorang anak kapal menjerit; “penumpang turun, turun.”

“Salah seorang pramugari mula berlari di lorong laluan dan kami tertanya, kenapa dia berlari,” kata Leah, sambil menjelaskan bahawa ketika itu anak kapal tersebut tidak memberitahu apa yang sedang berlaku.

Sementara seorang penumpang lain Clare Askew memberitahu Seven News Australia, “Keadaan semakin panik apabila ada kru pesawat yang menjerit, terkejut dan ada yang kelihatan sedang menangis.”

Topeng oksigen jatuh daripada kabin, dan kru mengarahkan semua penumpang untuk berada dalam keadaan bersedia.

“Kami melihat kepada mereka untuk mendapatkan jaminan dan kami tidak memperoleh apa-apa. Kami lebih bimbang kerana melihat mereka sungguh panik,” katanya memberi reaksi kepada tingkah laku anak kapal.

“Saya serta-merta mengambil manik tasbih dan meletakkannya di leher saya. Saya fikir saya akan pergi.

“Saya benar, benar fikirkan kami akan pergi (meninggal dunia). Hidup saya terbayang-bayang di depan mata saya,” kata seorang lagi penumpang wanita, Glenyce Regan yang hanya mampu berdoa  pada masa kejadian.

Seorang penumpang lain, Mark Bailey pula mendakwa sikap anak kapal yang menjadi punca orang lain berasa semakin takut.

“Mereka seperti histeria, tiada siapa yang benar-benar panik sebelum itu, tetapi selepas itu semua orang panik,” katanya.

“(Kru kabin) menjerit… Kita hilang tekanan dalam kabin,” tambahnya.

Merv Loy juga mendakwa kru kabin menambahkan lagi histeria dalam kalangan penumpang dengan kekurangan arahan daripada mereka.

“Kami tidak faham perkataan yang mereka katakan. Ia agak menakutkan,” katanya kepada Perth Now.

Walaupun anak kapal berdepan suasana panik ketika menangani kecemasan di udara, pesawat QZ535 selamat melakukan pendaratan dan AirAsia tampil memohon maaf atas kesulitan tersebut dan mengatakan keselamatan penumpang adalah keutamaan.

“Kami memuji juruterbang yang melakukan pendaratan yang selamat dan mematuhi prosedur operasi mengikut piawaian,” kata ketua Kapten Ling Liong Tien, ketua keselamatan AirAsia Group, memetik CNN.

“Kami komited sepenuhnya kepada keselamatan para penumpang dan kru kami dan kami akan terus memastikan kami mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.”

Insiden ini berlaku selepas pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Perth ke Kuala Lump[ur terpaksa berpatah balik selepas dilaporkan menghadapi masalah enjin menyebabkan pesawat bergetar seolah penumpang berada dalam “mesin basuh”, pada Jun lalu.

Penumpang turut mengutuk tindakan kapten yang memberitahu mereka supaya berdoa.

Mudah untuk katanya, apa yang semua penumpang perlu pada waktu kecemasan udara adalah komunikasi yang baik daripada kru dan mungkin juga juruterbang mengenai apa yang berlaku, jika tidak, mereka akan berada dalam kebimbangan. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.