Khalid Ibrahim Jawab Ugutan Kerajaan PKR Selangor

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim membidas ugutan diterimanya oleh kerajaan Pakatan Harapan Selangor, sekiranya beliau bertindak menentang pakatan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurut kenyataannya di Facebook, Khalid menyatakan tidak gentar terhadap ugutan berkenaan, malah mengalu-alukan kerajaan negeri mendedahkan salah lakunya ketika bergelar Menteri Besar sebelum digulingkan partinya sendiri.

“Saya kata silakan pada mereka; silakan!!! Keluarkanlah dokumen 1000 mukasurat pun. Saya alu-alukan.

“Saya amat mementingkan ketelusan dan good governance dalam pentadbiran kerajaan. Saya tidak rasa pentadbiran negeri hari ini mempunyai keutamaan yang sama,” ujarnya.

Khalid berkata demikian dipercayai mengulas amaran exco kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, untuk mendedahkan kelemahan bekas Menteri Besar itu sekiranya menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Kata Chang Khim, Pakatan Harapan mengetahui kelemahan Khalid dan akan mendedahkan perkara berkenaan jika Khalid membuat keputusan untuk menentang mereka.

“Jika beliau memilih untuk berada di pihak yang satu lagi, kami akan dedahkan kelemahan beliau. Kami terpaksa membersihkan keadaan kacau-bilau yang disebabkan beliau,” katanya dipetik media pembangkang, Malaysiakini.

Jelas Khalid, beliau bersedia bekerjasama dengan semua pihak demi kebaikan ummah, menggalakkan pentadbiran telus serta memerangi rasuah.

Khalid sebelum ini dilaporkan menjadi Menteri Besar ke-4 menyertai barisan bekas MB yang akan membantu usaha BN merampas kembali pentadbiran Selangor.

Dakwaan itu susulan pendedahan oleh salah seorang bekas Menteri Besar, Tan Sri Abu Hassan Omar.

Kata Abu Hassan, empat MB berkenaan adalah Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, Abu Hassan, Dr Mohd Khir Toyo dan Khalid.

Khalid yang ditemui pemberita di Shah Alam semalam dalam pada itu menafikan beliau akan menyertai UMNO, sebaliknya akan memberi sokongan kepada PAS pada PRU akan datang.

“Khabar angin sebegini (bagi saya) adalah perkara biasa. Apa yang akan berlaku adalah saya akan menyokong dan membantu PAS untuk memenangi PRU nanti,” katanya.

Ujarnya, beliau akan terus bergerak sebagai wakil bebas tetapi pro kepada PAS.

“Saya bersedia berkempen untuk PAS walaupun tidak akan kembali dalam dunia politik secara langsung. Jangan takut saya nak masuk politik mana-mana, saya hanya mahu tolong PAS,” katanya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.