‘Kekasih Muda’ Amuk Bakar Perabot

TAMPIN – Seorang lelaki berusia 29 tahun telah bertindak membakar perabot milik kekasihnya berusia lingkungan 50an, dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Tampin, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, usaha mengesan suspek yang beralamat di Sikamat, Seremban masih lagi dijalankan.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek kira-kira jam 1.30 pagi, dan suspek pada masa itu berada dalam keadaan marah serta mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.

“Suspek juga dipercayai dalam keadaan mabuk semasa panggilan telefon dibuat. Suspek menyatakan kepada mangsa ingin mengambil semula perabot yang dibelinya dan menyuruh mangsa meletakkan kesemua perabot berkenaan di dalam pagar kawasan rumah.

“Sebaik suspek sampai ke rumah, suspek telah pindahkan perabot ke kawasan luar pagar rumah. Lelaki itu turut memberitahu mangsa, dia akan membakar perabot berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hamazah berkata, mangsa yang ketakutan terus masuk ke bilik dan sebaik menyedari suspek telah beredar, mangsa melihat perabot di hadapan pagar rumahnya telah dibakar.

Menurutnya, berhubung insiden itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tampin, kira-kira jam 3 pagi.

“Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM2,000 susulan perabot seperti kabinet televisyen, sofa, televisyen dan pemain DVD dibakar.

“Berdasarkan siasatan, perabot dibayar secara ansuran oleh mangsa dan suspek hanya membayar deposit sebanyak RM300 sahaja,” katanya.

Hamazah berkata, punca kebakaran telah diserahkan kepada Forensik Bomba dan Forensik IPK Negeri Sembilan bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api dengan niat menyebabkan kerosakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.