KAFA Nafi Wujud Pakatan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan wujud pakatan untuk menyingkirkan pengendali pasukan itu, Zahasmi Ismail daripada meneruskan tugasnya sehingga aksi terakhir menentang Melaka pada 28 Oktober ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, isu tersebut tidak benar sama sekali dan sengaja diuar-uarkan oleh pihak tertentu untuk memecah-belahkan pasukan Kelantan.

Menurutnya, Zahasmi hanya memohon cuti selama seminggu daripada menjalankan tugas dan bukan diarahkan berehat seperti yang didakwa.

“Jadi, tidak timbul isu dia direhatkan. Saya ingin jelaskan, Zahasmi hanya bercuti buat sementara waktu daripada menjalankan tugas.

“Untuk makluman, saya sudah mengadakan pertemuan dengan Zahasmi bagi membincangkan perkara ini. Jadi, kita ambil jalan te­­ngah dengan memberikan ru­ang kepada Zahasmi untuk bercuti sementara waktu,” katanya, lapor Kosmo.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan wujud cubaan menyingkirkan Zahasmi daripada tugasnya.

Sebelum ini dilapor­kan, isu sabotaj pasukan Kelantan yang berdepan misi getir untuk kekal dalam Liga Super musim depan memasuki episod baharu apabila Zahasmi dikhabarkan bercuti seminggu mulai hari ini didakwa diarahkan berehat daripada mengendalikan pasukan.

Bibi Ramjani memberitahu, para pemain tidak tergganggu dengan isu tersebut, sebaliknya fokus untuk berdepan Melaka dalam aksi ‘hidup mati’ itu nanti.

Katanya, beliau juga berharap para penyokong dapat turun ke Stadium Hang Jebat bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan Kelantan.

“Sokongan ini amat pen­ting bagi memastikan Kelantan me­nang dan seterusnya kekal da­lam Liga Super,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata, Kelantan sudah memenuhi semua syarat di bawah Peraturan Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Edisi 2017 dan Pe­lesenan Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan pasukan itu bersaing dalam sai­ngan Liga Super musim depan.

Katanya, KAFA akan terus berusaha bagi memastikan syarat tersebut dipenuhi sambil mengharapkan FAM dapat membantu dalam memudahkan urusan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.