FMLLP Serah Laporan Kekecohan Di Ipoh Kepada FAM

KUALA LUMPUR – Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan menyerahkan laporan daripada pihak berkuasa berhubung insiden kekecohan selepas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ipoh, semalam, kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan susulan.

FMLLP memaklumkan mereka sudah menerima laporan awal insiden berkenaan yang menyaksikan dua lelaki termasuk seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh cedera dipercayai akibat terkena mercun.

“FMLLP akan meneliti semua laporan daripada pihak yang berwajib terlebih dahulu dan akan dimajukan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya,” menurut FMLLP dalam laman Facebooknya, hari ini.

FMLLP yang merupakan pentadbir Liga Malaysia, memaklumkan mereka telah mengadakan mesyuarat khas bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, sebelum ini bagi memastikan kelancaran aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia.

“Pihak kami memuji keprihatinan KDNKA kepada isu–isu berkait dengan keganasan bola sepak dan berterima kasih di atas tindakan pantas pihak berkuasa dalam memastikan insiden yang lebih buruk dapat dielakkan,” jelas FMLLP.

Badan itu juga komited memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada aksi timbal balik Piala Malaysia, hujung minggu ini.

Pada masa sama, FMLLP turut meminta penyokong bola sepak tanah air untuk bekerjasama dalam membendung perkara-perkara negatif seperti isu pergaduhan antara penyokong dalam menjadikan stadium sebagai tempat yang selamat untuk dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat.

Tujuh lelaki berusia 18 hingga 29 tahun dipercayai penyokong Perak dilaporkan ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan pada perlawanan semalam yang berkesudahan seri 1-1. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.