Demo Anti-Kleptokrasi Petanda Awal Keputusan PRU-14

Himpunan anti-kleptokrasi yang diadakan pada Sabtu lalu di Padang Timur, Petaling Jaya gagal menarik perhatian ramai. Sasaran awal adalah 100,000 orang, kemudian menurun kepada 30,000 orang dan pada hari kejadian, hanya 4,000 orang sahaja yang hadir.

Namun untuk mengelakkan malu, penganjur menyatakan jumlah kehadiran adalah 25,000. Memang tidak lojik , kerana padang pun hanya mampu memuatkan kira-kira 10,000 orang sahaja. Bukan itu sahaja gambar dan video yang dirakamkan menunjukkan keadaan padang yang kosong.

Apa yang pasti, ia merupakan petanda buruk kepada Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mereka untuk menawan Putrajaya. Walaupun kehadiran barisan pemimpin PH seperti Dr. Mahathir Mohamad, Azmin Ali, Mohamed Sabu, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Kit Siang, namun ia masih belum cukup untuk menarik orang ramai ke situ.

Acara berkenaan pun tidak menjadi trending di media sosial. Ini kerana orang ramai sudah bosan mendengar ceramah retorik yang disampaikan oleh mereka yang lebih kepada memburuk-burukkan individu, bukan menawarkan sesuatu yang baru atau bermanfaat kepada rakyat.

Berdasarkan kepada jumlah kehadiran, perhimpunan kali ini memberikan petanda awal keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti. Ia juga selaras dengan kajian yang dijalankan oleh firma penyelidikan media sosial, Politweet pada Julai lalu.

Kajian itu mendapati populariti Barisan Nasional (BN) di Facebook meningkat hampir sekali ganda berbanding pembangkang.

Mengikut Politweet, secara umum seramai 5.8 juta pengguna FB di negara ini yang berusia 21 tahun ke atas didapati lebih cenderung kepada BN berbanding 3.1 juta pengguna FB yang menyokong parti-parti pembangkang.

Dapatan kajian itu juga merumuskan secara spesifik seramai 3.3 juta atau 51.6 peratus daripada 6.4 juta pengguna FB berminat secara langsung menyokong BN.

Melihat kepada hasil kajian dan sambutan perhimpunan anti-kleptokrasi yang diadakan itu maka kita sudah tahu akan keputusan PRU nanti. Walaupun bermacam-macam cara dilakukan oleh pembangkang namun kempen mereka lebih kepada memburukkan individu dan memfitnah pemimpin terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rakyat sebenarnya sudah muak, mereka mahu mendengar cerita mengenai pembangunan negara. Tetapi malangnya pembangkang hanya meniru langkah yang dilakukan oleh kerajaan. Bila pembangkang sibuk bercakap mengenai cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan membebankan, mereka tidak pula menyatakan cukai baru untuk menggantikan GST.

Begitu juga dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Jika dulu Mahathir Mohamad sibuk menyatakan BR1M adalah dedak dan rasuah, namun kini mereka mahu memperkenalkannya pula.

Malah dalam ceramah pada himpunan kleptokrasi itu, Lim Guan Eng dengan jelas menyokong BR1M.

“Kalau anda sokong (PH) untuk ganti BN, kita akan buat (yang) terbaik terhadap negara, pertama hapuskan GST. Pada masa yang sama BR1M tetap akan dibayar, kita mampu buat demikian kerana kita bersih dan rakyat pasti dapat wang,” katanya ketika berucap di pentas Himpunan Anti Kleptokrasi.

Itulah sebab kenapa sokongan ke atas PH semakin menurun. Ia kerana rakyat tidak lagi percaya kepada apa yang mereka katakan. Suka cakap berbelit-belit dan berpusing-pusing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.