Bazar Sesak, Ambulans Dan Bomba ‘Sangkut’

KUALA LUMPUR – Insiden ambulans dan jentera bomba tidak dapat memasuki Jalan Masjid India, di sini kerana kesesakan bazar, mencetuskan kebimbangan.

Presiden Masjid India Business Association, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, perkara itu harus diselesaikan segera kerana beliau tidak mahu sebarang usaha menyelamat dijalankan pihak berkuasa tergendala atau berdepan kesukaran.

Menurutnya, kesesakan berlaku terutama di musim-musim perayaan, yang mana peniaga berniaga di kiri dan kanan, hingga ‘makan jalan’.

“Jalan ini adalah jalan utama dan sekiranya berlaku sebarang kecemasan, pastinya pihak keselamatan sukar untuk melalui kawasan itu.

“Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku dan saya mahu pihak bertanggungjawab selesaikan isu ini segera,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, semalam, lapor Sinar.

Beliau mengulas satu video memaparkan sebuah jentera bomba yang dalam perjalanan ke sebuah bangunan premis selepas menerima panggilan kecemasan, tersekat di Jalan Masjid India kerana kesesakan di kawasan itu.

Lebih membimbangkan, kejadian itu bukan pertama kali apabila pada Ogos lalu, sebuah ambulans turut menerima nasib sama.

Katanya, pihaknya telah berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung isu tersebut dan sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil bagi mengatasinya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi mengesahkan insiden terbabit.

“Kita juga terima aduan berhubung kesesakan dan isu keselamatan di kawasan itu.

“Berhubung masalah kesesakan ini juga, kita telah membawa perkara ini untuk dibincangkan dengan pihak berkaitan.

“Selain itu, kita juga menempatkan anggota di tempat-tempat tertentu seperti Pasar Seni, KL Sentral dan Petaling Street yang mana mereka ini bertugas sepanjang 24 jam secara bergilir-gilir,” katanya.

Dalam pada itu, Khirudin turut menasihatkan peniaga supaya mematuhi keselamatan terutamanya yang menjual makanan dan minuman supaya mempunyai jarak dengan peniaga yang menjual barangan seperti pakaian dan seumpamanya bagi mengelakkan kebakaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.