Sejarah Berulang, Selangor Lawan Kedah Di Final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR — Final Piala Malaysia musim ini umpama ulangan perlawanan akhir tahun lepas apabila juara bertahan, Selangor akan berdepan Kedah sekali lagi.

 

Skuad Gergasi Merah berada pada landasan baik untuk mempertahankan Piala Malaysia apabila mara ke final buat kali ke-49 selepas menewaskan T-Team dengan agregat 5-1, manakala Kedah beroleh peluang menebus kekecewaan musim lepas dengan menyingkirkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi agregat 2-1.

 

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi, Selangor bermula garang dengan menjaringkan gol seawal minit ketiga menerusi R Gopinathan yang menyudahkan hantaran pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah.

 

Skuad kendalian K Gunalan kemudian menggandakan jaringan menerusi pemain pertahanan import dari Nigeria, Ugochukwu Ukah pada minit ke-19 yang mengambil peluang daripada kelekaan barisan pertahanan T-Team.

 

Selangor, pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan 33 kejuaraan, kemudian menambahkan derita skuad The Titans yang beraksi di hadapan lebih 10,000 penonton apabila Andik menambahkan jaringan pada akhir babak kedua.

 

Ini membolehkan skuad Gergasi Merah ke final dengan agregat 5-1 selepas menang separuh akhir pertama 2-1 di Stadium Shah Alam pada 1 Okt lalu.

 

Pada satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Hang Jebat, Melaka, PDRM gagal mengggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan juara empat kali, Kedah, sekali gus gagal ke final apabila tewas menerusi agregat 1-2.

 

Skuad Lang Merah yang menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus hampir mendahului pada minit ke-13 apabila Thiago Augusto Fernandes membuat hantaran lintang di hadapan pintu gol PDRM, namun tandukan Smeltz Shane Edward gagal menemui sasaran.

 

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar pula memperoleh peluang menjaringkan gol pada minit ke-72 hasil hantaran lintang Fernandes, namun tandukannya juga tidak menemui sasaran.

 

Skuad The Cops turut mendapat peluang keemasan namun rembatan Muhammad Safuwan Baharudin pada minit ke-75, selepas berlari deras melepasi pertahanan Kedah turut tersasar.

 

Tahun lalu, Selangor muncul juara buat kali ke-33 selepas menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, bagi menjadikan rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada pentas final seimbang, selepas Kedah menewaskan Gergasi Merah 3-2 pada 2008.

 

Final tahun ini dijangka diadakan sama ada 28 atau 30 Okt ini di Stadium Shah Alam selepas tarikh asal 29 Okt bertembung dengan sambutan Deepavali. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.