Malaysia, Thailand Kerjasama Lanjut ETS Ke Hat Yai

GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi melanjutkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Padang Besar hingga ke bandar Hat Yai kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

 

Beliau berkata, kerajaan Thailand menunjukkan minat untuk melanjutkan landasan ETS yang setakat ini hanya sampai ke Padang Besar dari Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata selaras dengan perkembangan pesat perkhidmatan sistem pengangkutan, kementerian menyokong penuh inisiatif yang diambil oleh kerajaan Thailand bagi menjayakan perlanjutan landasan ETS sehingga ke Hat Yai.

 

“Berikutan perbincangan dengan rakan sejawatan kami, kerja-kerja perlanjutan landasan ETS sedia ada dari Padang Besar ke Hat Yai sedang berjalan dan kami sangat optimistik projek ini akan siap menjelang 2020,” katanya, petik Bernama.

 

Menurut beliau perlanjutan landasan ETS ini akan memberi faedah kepada kedua-dua negara terutama sekali kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setelah projek ini siap kelak.

 

Liow berkata kementeriannya dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersetuju untuk menambah 10 lagi tren ETS tahun depan, bagi memenuhi peningkatan penumpang.

 

“Ketika ini, KTMB mempunyai 38 tren ETS, dan menawarkan perkhidmatan bagi laluan Gemas-Padang Besar dua kali sehari. Setiap tren mempunyai enam gerabak yang boleh memuatkan sehingga 300 penumpang pada satu-satu masa, dan itu pun masih tidak dapat memenuhi permintaan semasa,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.