Malaysia Terajui Mesyuarat Formula Arria Mengenai Penempatan Haram Israel

KUALA LUMPUR – Malaysia menganjurkan mesyuarat Formula Arria Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York, yang memberi tumpuan kepada penempatan haram Israel, pada Jumaat.

 

 

Mesyuarat itu disokong anggota majlis seperti Mesir, Angola, Senegal dan Venezuela, yang turut menjadi pengerusi bersama dengan Malaysia, demikian menurut kenyataan Wisma Putra.

 

 

Malaysia mengulangi keperluan segera untuk Majlis Keselamatan menggunakan pelbagai cara yang ada dan mengambil langkah segera menghentikan aktiviti penempatan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan penyelesaian dua-negara.

 

 

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Ramlan Ibrahim berkata aktiviti penempatan Israel telah dikutuk sejak beberapa dekad lalu, tanpa ada tindakan konkrit untuk menghentikan mereka.

 

 

“Pada masa sama, penempatan itu terus berkembang, keganasan kian bertambah dan syarat untuk penyelesaian dua-negara semakin terhakis.

 

 

“Kemarahan dan kekecewaan atas sikap pilih kasih yang sekian lama ke atas Palestin berterusan bagi menyemarakkan radikalisasi di rantau itu dan melangkauinya,” katanya.

 

 

Dalam isu penempatan haram Israel itu, katanya, ia bukan masalah kekurangan insentif tetapi tiadanya sekatan.

 

 

Ramlan berkata bulan lepas sahaja, Israel menerima sesuatu yang belum pernah berlaku apabila mendapat bantuan ketenteraan berjumlah AS$38 bilion untuk tempoh 10 tahun.

 

 

“Saya tidak boleh bayangkan insentif lebih hebat untuk keselamatan Israel. Namun beberapa minggu selepas menandatangani perjanjian bantuan ketenteraan paling besar itu, Israel dengan selamba mengumumkan ia akan membina lebih banyak penempatan baharu,” katanya.

 

 

Ramlan berkata, ia jelas menunjukkan perlunya menghentikan ganjaran ke atas perbuatan menyalahi undang-undang yang mengancam keamanan dan keselamatan di rantau itu serta melangkauinya.

 

 

Mesyuarat itu turut diberikan maklumat secara langsung daripada pakar dan wakil masyarakat termasuk Hagai El-Ad dari B’Tselem, satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel yang berpangkalan di Tel Aviv yang memperjuangkan hak kemanusiaan di Wilayah Palestin yang diduduki.

 

 

Ia juga menunjukkan rakaman video menggambarkan keganasan peneroka terhadap orang awam Palestin, merobohkan rumah rakyat Palestin untuk memberi laluan kepada penempatan haram Israel, serta dasar pengasingan di Hebron.

 

 

Menurut Wisma Putra, mesyuarat itu diterima baik oleh 300 peserta terdiri daripada anggota PBB, NGO dan lain-lain.
Mesyuarat Formula-Arria adalah pertemuan tidak formal dan secara peribadi, di mana anggota UNSC diberi kelonggaran dari segi prosedur untuk bertukar-tukar pendapat secara berterus terang dan peribadi dengan pemberi taklimat bukan daripada PBB.

 

 

Ini adalah usaha ketiga Malaysia mengenai Palestin sejak menjadi anggota tidak tetap UNSC pada Januari 2015 – yang pertama memfokuskan mengenai Gaza pada Julai 2015, dan kedua mengenai perlindungan orang awam Palestin pada Mei 2016.

 

 

Sebelum inisiatif Malaysia, lebih 18 tahun telah berlalu tanpa ada mesyuarat Formula Arria mengenai Palestin.

 

 

Tempoh Malaysia sebagai anggota tidak tetap UNSC akan berakhir pada penghujung 2016. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.