Air Pasang: 28 Kawasan Dikenalpasti Berisiko Tinggi

Sebanyak 28 kawasan berisiko dijangka dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang besar di sepanjang persisiran
pantai Kuala Perlis mulai esok hingga Selasa ini.

 

Menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis Mej (PA) Mohd Farid Ishak, kawasan terbabit yang telah dikenalpasti adalah Kampung (Kg) Pulau Ketam, Kg Tengah, Kg Tandiap, Kg Seberang Alor, Kg Seberang Tok Pi dan Kg Puju.

 

Turut terlibat ialah Kg Tanah Baru, Kg Perak , Kg Belakang Kilang, Kg Sungai Siput, Taman Kuala Perlis, Kg Nelayan, Kg Tanah Baru, Taman Bukit Kubu, Taman Sentosa, Taman Peladang Jaya, Taman Utara Jaya Fasa 1 dan 2 serta Taman Berlian.

 

Selain itu, Kg Sungai Kurong Tengar, Kg Sungai Berembang, Kg Bohor Pahit, Kg Pulau, Kg Sg Baru, Kg Mengimang, Kg Sungai Belati, Kg Sungai Padang, Kg Padang Keria dan Kg Kuala Sanglang turut berisiko, katanya.

 

Beliau memaklumkan, banyak kawasan rendah di sepanjang pantai di negeri ini dijangka dilanda banjir kilat jika keadaan laut bergelora, angin kencang dan hujan berterusan berlaku serentak.

 

“Orang ramai harus bersedia dan mengikut arahan sekiranya diarahkan berpindah ke pusat penempatan,” katanya selepas membuat pemantauan di sepanjang pantai Kuala Perlis lewat malam tadi.

 

Antara pusat pemindahan yang disediakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khay Beng, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Pejabat Kemas Kuala Perlis, SK Sungai Baru, SK
Datuk Ahmad Musa dan SK Padang Keria.

 

“Walaupun air pasang dijangka sederhana, orang ramai tidak boleh mengambil ringan,” kata Mohd Farid seperti yang dilaporkan Bernama.

 

Katanya air pasang tertinggi di pesisir pantai Kuala Perlis ialah pada pukul 12.30 tengah malam tadi mencecah 3.3 meter. Ketinggian ombak dijangka melepasi 3.5 meter esok dan lusa yang melepasi tembok penghadang dan boleh menyebabkan banjir kilat.

 

Air pasang hari ini dijangka bermula pukul 12.40 tengah hari dan boleh mencecah 3 meter tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.