Zaid Ibrahim Ingatkan Saifuddin Politik Licik Dalam PKR

KUALA LUMPUR – Belum pun bahang panas Datuk Saifuddin Abdullah menyertai PKR reda, beliau telah diperingatkan mengenai kelicikan puak-puak tertentu dalam parti itu.

 

Amaran itu diberikan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim yang menyertai PKR pada tahun 2009 namun keluar parti itu setahun kemudiannya.

 

Menurut Zaid, beliau telah melalui permainan politik dalaman PKR apabila membuat keputusan bertanding jawatan timbalan presiden PKR sekalipun waktu itu beliau masih baru menyertai parti itu.

 

“Saya tergesa-gesa untuk menjadi pemimpin Pakatan Rakyat dan menerima padah. Beliau perlu lebih berhati-hati,” katanya.

 

Menurut Zaid, beliau terpaksa menarik balik pencalonannya namun tetap dituduh menipu dan salah laku pilihan raya sehingga terpaksa meletak jawatan dalam parti itu pada November 2010.

 

Keadaan itu katanya, menyebabkan beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR.

 

Selain itu, Zaid juga tidak begitu yakin kemasukan Saifuddin ke dalam PKR akan menjadi aset besar kepada parti itu dan gabungan pakatan pembangkang.

 

“Malah, Anwar tidak mampu berbuat demikian,” katanya, namun percaya Saifuddin yang cukup berpengalaman akan mampu menyesuaikan diri ke dalam PKR.

 

Beliau bagaimanapun menasihatkan Saifuddin untuk berpolitik cara selamat dalam parti yang baru disertainya itu.

 

Zaid kini tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

 

Saifuddin pada Khamis mengumumkan menyertai PKR kerana tertarik dengan model berbilang kaum PKR selain merasakan tidak sesuai dengan UMNO dan Barisan Nasional.

 

Beliau sebelum itu diberikan surat tunjuk sebab oleh pengurusan UMNO yang perlu dijawab dalam tempoh 14 hari setelah secara terbuka menghadiri perbincangan meja bulat pembangkang serta pelancaran pakatan baharu, Pakatan Harapan, 21 September lalu. – BNBBC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.