Tiga Lelaki Termasuk Ahli Perniagaan Didakwa Culik Kanak-Kanak Di Kajang

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang dekat sini hari ini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak berusia lima tahun di hadapan sebuah tadika di Sungai Chua di sini, Jumaat lalu.

 

Tertuduh Siow Kek Keong, 44, yang juga seorang ahli perniagaan bersama-sama pemandu lori, Mohd. Saifulamry Jarkasi, 28, dan warga Indonesia, Riduansyah Yahya, 32, yang bekerja sebagai buruh bakal menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961, jika sabit kesalahan.

 

Berdasarkan pertuduhan mereka didakwa menahan dan mengurung kanak-kanak itu untuk mendapat wang tebusan berjumlah RM300,000 di tepi Jalan Seroja, sebelah sebuah rumah, Taman Setia, Sungai Chua, Kajang, pukul 9.26 pagi, 9 Oktober lalu.

 

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh yang hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad.

 

Dalam kejadian tersebut, episod penculikan kanak-kanak itu yang dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah disebarkan secara meluas di media sosial.

 

Kanak-kanak itu berjaya ditemukan oleh seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Nizam kira-kira lapan jam selepas kejadian namun bapa mangsa turut menerima panggilan menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.

 

Nizam yang merupakan salah seorang yang ditahan polis bagi membantu siasatan bagaimanapun dilepaskan dengan bon setelah pihak polis mendapati dia tiada kaitan dalam kejadian tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.